Connect with us

PUBG Mobile

Kerjaya sebagai pemain PUBG Mobile adalah satu perkara serius – Jumper

Published

on

KUALA LUMPUR – Kerjaya sebagai pemain e-sukan tidak sama sekali boleh dipandang ringan, kata pemain profesional bagi pasukan nombor 1 Asia Tenggara, Yoodo Gank, Izzrudin Hashim (Jumper).

Jumper berkata dia sentiasa berusaha keras dalam bidang yang diminatinya itu.

“Saya memang menganggap kerjaya pemain PUBG Mobile ini sebagai satu perkara yang serius kerana ini adalah apa yang saya minat. Keluarga saya pun semakin menerima (kerjaya sebagai pemain e-sukan) kerana sudah berjaya ke tahap ini.

“Dulu mereka marah saya main game kerana saya belum sampai ke tahap ini. Ibu bapa mungkin tidak tahu sangat mengenai e-sukan sebab e-sukan di Malaysia kurang maju tapi mereka mahu mahu anak-anaknya berjaya.

“Jadi, bagi mereka yang berminat dalam e-sukan, anda perlu membuktikannya kepada ibu bapa,” kata Jumper dalam satu temu bual eksklusif bersama WTM Today.

Pada hujung minggu lalu, Jumper dan Yoodo Gank menjuarai Kejohanan Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) Musim Pertama 2020.

BACA: Menteri KBS, Reezal Merican ucap tahniah kepada Yoodo Gank

Dalam kejohanan SEA Final itu, Jumper dan Yoodo Gank membolot beberapa anugerah termasuk sebagai penyandang tempat pertama, Anugerah Pasukan Paling Popular (Malaysia) dan Anugerah Pemain Terbaik.

Secara keseluruhan, Yoodo Gank membawa pulang wang tunai kira-kira RM174,000 (AS$40,500) menerusi kemenangan yang diraih dalam kejohanan SEA Final itu.

Jelas Jumper, pencapaian Yoodo Gank ke tahap itu adalah kerana kekuatan setiap ahli pasukannya yang saling melengkapi antara satu sama lain.

BACA: Fredo tak ‘blur’, banyak idea – Jumper

“Saya amat berbangga dengan percapaian dan usaha dari setiap rakan sepasukan saya.

“Bagi saya walaupun kami berempat tapi kami dikira satu dan tanpa salah seorang dari kami, mungkin kami tidak sampai ke tahap ini.

“Kami masih lagi terkejut dengan kejayaan yang kami telah capai kerana kami hanya meletakkan sasaran untuk mendapatkan slot ke global. Tapi Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki yang lebih baik. Ini akan menjadi satu memori yang manis buat kami,” tambah Jumper.

BACA: 2 kali rezeki tersekat di PMPL MY/SG, rupanya Allah bagi juara di SEA Final – Draxx

Selain Jumper, Yoodo Gank terdiri daripada Aiman Mohamad (Man Parang) sebagai kapten, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

Keempat-empat pemain itu dikenali sebagai Team 2020 sejak Yoodo Gank menukar barisan pemain utamanya pada tahun lalu.

Sejak barisan Team 2020 diperkenalkan, pasukan itu telah meraih pelbagai pencapaian antaranya:

  • Juara SEA Final Musim Pertama 2020
  • Naib Juara Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG) 2020
  • Naik Juara PMPL MY/SG (Peringkat Liga) 2020
  • Tempat Ketiga Selangor Cyber Games – Edisi Piala Duduk Rumah 2020
  • Tempat Ketujuh Kejohanan Peacekeeper Elite di China 2019

Sementara itu, Jumper juga berkata dia berterima kasih dengan jurulatih Yoodo Gank, Agus Amran dan penyokong pasukannya yang tidak henti memberi sokongan sepanjang perjalanan e-sukan Yoodo Gank.

“Jurulatih Agus banyak memberi tunjuk ajar pada kami.

“Kami juga mungkin tidak sampai ke tahap ini tanpa doa dari anda semua. Terima kasih banyak-banyak atas sokongan yang tidak henti,” kata Jumper.

Jumper yang pernah diberi gelaran ‘Raja Sanhok Asia Tenggara’ dalam kalangan pengulas e-sukan PUBG Mobile merupakan antara pemain profesional tanah air yang mempunyai corak permainan yang luar biasa.

Jumper yang sebelum ini pernah berkhidmat bersama VIP Squad pernah menjuarai Kejohanan PUBG Mobile Malaysia 2019 dan memenangai Anugerah Pemain Terbaik dalam kejohanan yang sama.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved