Mobile Legends
Kejohanan Wanita: Karra, On Air Pipol wakil Malaysia di MWI 2022

KUALA LUMPUR – Dua pasukan Mobile Legends tanah air, Karra dan On Air Pipol sah akan mewakili Malaysia dalam Kejohanan Jemputan Mobile Legends Wanita (MWI) 2022 pada 27-30 Januari nanti.
Menurut Moonton, Karra akan bergabung dengan pemain-pemain SUHAZ Esports untuk menyertai kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM62,000 (AS$12,000).
Selain Karra dan On Air Pipol, MWI juga akan disertai beberapa pasukan Mobile Legends Asia Tenggara iaitu Bren Esports, Smart Omega, IDNS Princess, Impunity Scarlet dan Lugiami.
Dua pasukan Indonesia pula akan diumumkan pada 23 Januari nanti menerusi kelayakan Liga Bintang Wanita Musim Keempat 2022.
Juara dan naib juara kejohanan itu akan mewakili Indonesia ke MWI 2022.
Berikut adalah senarai pasukan yang akan menyertai MWI 2022 setakat ini:
Malaysia
KARRA, On Air Pipol
Thailand dan Laos
IDNS Princess
IDNS Elsa
Kemboja
Impunity Starlets
Filipina
OMEGA Esports
Bren Esports
Singapura
Lugiami
10 pasukan dalam kejohanan ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan menerusi satu undian rawak.
Empat pasukan teratas untuk setiap kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat pusingan kalah mati (playoff).
Sementara itu, pihak penganjur turut berkongsikan satu laporan penyelidikan mengenai komuniti e-sukan dan gaming wanita.
Menurut ONE Esports, komuniti itu merupakan salah satu segmen yang berkembang dengan pesat berikutan perkembangan telefon mudah alih dan pasaran video penstriman langsung.
“Ketika ini akaun peminat wanita untuk pasaran e-sukan dan gaming adalah 49% di rantau Asia Tenggara,” kata ONE Esports dalam satu kenyataan media hari ini.
MWI 2022 merupakan inisiatif ONE Esports dan MOONTON Games dalam memperkasakan pemain wanita dalam industri e-sukan.