Connect with us

PUBG Mobile

Kami nak tunjuk gameplay clean pun boleh jadi juara – QB

Published

on

Foto: PUBG Mobile

KUALA LUMPUR – Pemain profesional PUBG Mobile Geek Fam, Ahmad Syafiq Imran Mohamad (Qb) berhasrat untuk membawa nama pasukannya menjadi juara Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Ketiga (PMPL MYSG S3) dengan corak permainan tersendiri.

QB berkata dia percaya bermain dengan corak permainan yang sebenar dan bersih dalam PUBG Mobile juga boleh menjadi juara.

“Kami mahu menunjukkan yang kami boleh bawa nama Geek Fam menjadi juara dalam PMPL.

“Kami mahu tunjuk, corak permainan yang sebenar dan bersih boleh menjadi juara,” kata QB.

QB berkata demikian dalam satu temubual bersama pengulas Grand Final PMPL MYSG S3, Andriyana Mohamed Ghazali (ChuChu), selepas Geek Fam menang di pusingan pertama di Sanhok tadi.

Menurut QB, kemenangan pertama itu dilihat sebagai permulaan yang baik namun Geek Fam tidak boleh terlalu selesa.

Jelasnya, peringkat Grand Final masih lagi berbaki 17 pusingan dan Geek Fam perlu terus konsisten.

“Memang ia (memenangi Chicken Dinner) adalah satu permulaan yang baik untuk grand final namun dalam masa yang sama kami perlu terus fokus.

“Kita tidak tahu pertengah dan penghujung grand final nanti macam mana,” kata Qb.

Selain Qb, Geek Fam terdiri daripada Mohd Irzam Aman Mohd Zaini (Damrude), Mohd Yazid Sahol Hamid (Sane), Mohamad Nabil Bin Nazaruddin (Snipes) dan Muhammad Syakir Nabihan Samsuri (Miracle).

Pada pusingan Sanhok tadi, pasukan itu berjaya meraih 24 mata secara keseluruhan termasuk sembilan mata bunuh.

Dalam pusingan itu, arah penerbangan Sanhok dilihat menuju dari Mongnai ke Tambang. Pengecilan zon selamat pula berlaku ke arah lokasi Bahn.

Geek Fam berjaya mengunci kedudukan yang baik ketika zon selamat memasuki peringkat keenam yang berlaku di selatan Bahn, iaitu di kedudukan pasukan itu.

Grand Final PMPL MYSG S3 akan berlansung sehingga Ahad dan menawarkan dua slot ke peringkat akhir PMPL Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021.

Kejohanan PMPL MYSG S3 menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM610,000 (AS$150,000).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved