PUBG Mobile
Kami mahu terus menjadi juara dunia bersama Boyka – Bigetron RA

KUALA LUMPUR – Juara Grand Final Global PMCO Musim Luruh 2019, Bigetron RA masih mahu menggunakan khidmat pemain profesional PUBG Mobile tanah air, Khairunnazri Masli (Boyka) sebagai jurulatih mereka.
Pemain Bigetron RA, Muhammad Albi (Ryzen) berkata pihak mereka berharap Boyka dapat terus melatih pasukan itu terutama dari segi ketahanan mental.
“Kami mahu Boyka terus bersama dan melatih kami untuk menguatkan ketahanan mental kami.
“Kami yakin, dan sangat yakin boleh memenangi kejuaran dunia pada tahun depan bersama Boyka,” katanya dalam satu sidang media selepas tamat kejohanan Grand Final Global PMCO Musim Luruh 2019.
Sementara itu, apabila ditanya sampai bilakah khidmat Boyka diperlukan, ini jawapan rakan sepasukannya, Nizar Lugatio (Microboy): “Sampai kami terus jadi juara.”
Microboy juga berkata berkata mereka akan sentiasa perbaiki strategi, menganalisis perkembangan corak permainan PUBG Mobile untuk memastikan mereka sentiasa bersedia.
BACA: Boyka bantu tingkat skil komunikasi, kuatkan mental kami – Bigetron RA
Pada semalam, Bigetron RA muncul sebagai juara keseluruhan Grand Final PMCO Musim Luruh 2019 dan pulang hadiah utama bernilai RM751,500 (AS$180,000) dan RM104,300 (AS$25,000) menerusi 5 Chicken Dinner yang diraih sepanjang 3 hari Grand Final berlangsung.
Grand Final Global PMCO Musim Luruh 2019 yang berlangsung di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur turut menyaksikan Made Bagas Pramudita (Zuxxy) muncul sebagai Pemain Terbaik (MVP).