PUBG Mobile
Jelodi mungkin akan diteruskan di platform lain – J Hunter

KUALA LUMPUR – Siri podcast Jelodi mungkin akan diteruskan di platform media sosial yang lain, kata pengulas e-sukan popular tanah air, Azrul Anwar atau senang dikenali sebagai J Hunter.
J Hunter berkata jika perbincangan dengan Facebook tidak mencapai satu kata sepakat, Jelodi akan disiarkan menerusi plaform lain yang mendapat sokongan dari penaja, rakan-rakan dan penonton.
“Sekarang ini ada percanggahan mengenai Jelodi sebagai satu kandungan permainan video.
“Mereka tidak setuju podacast dikira sebagai kandungan permainan video dan saya dilihat menyusahkan komuniti ini.
“Mereka juga berkata saya bertanggungjawab kerana melanggar beberapa kontrak NDA, yang mana saya tidak sedari dan tidak bersetuju kerana maklumat tidak berapa tepat,” kata J Hunter kepada What’s The Meta Today.
J Hunter berkata demikian mengenai status penyiaran podcastnya Jelodi yang dikatakan akan dihentikan berikutan pencanggahan persetujuan dengan Facebook.
Sementara itu, J Hunter yang mempunyai 171,000 pengikut di Facebook berkata dia sangat menghargai setiap sokongan yang diberikan kepadanya.
“Terima kasih kepada semua penonton yang saya tidak pernah melihat mereka sebagai peminat, tetapi sebagai bos saya.
“Saya selalu melihat mereka sebagai bos saya,” kata J Hunter.
J Hunter juga menyeru orang ramai menghentikan spekulasi dan menyalahkan penghibur penstriman langsung yang lain berikutan masalah yang dihadapinya ketika ini.
“Masalah saya bukan dengan penghibur penstriman langsung yang lain tetapi dengan sistem,” kata J Hunter dalam satu penstriman langsungnya semalam.
Selain seorang penghibur penstriman langsung, J Hunter juga seorang pengulas e-sukan bagi PUBG Mobile, Dota 2, Street Fighter dan banyak lagi.
Dia pernah mengulas bagi Kejohanan Dunia PUBG Mobile Musim Luruh 2019 dan juga Liga PUBG Mobile Asia Tenggara bagi Musim Bunga dan Musim Luruh.