PUBG Mobile
Jangs ingin belajar dari kesilapan, fokus kejohanan seterusnya
JURULATIH pasukan PUBG Mobile Indonesia Bigetron Red Aliens, Muhammad Farhan Abdul Gafar (Jangs) mahu belajar dari kesilapan dan terus memberi tumpuan untuk masa hadapan yang lebih baik untuk pasukannya.
Hal ini berikutan prestasi pasukannya yang kurang menepati jangkaan ramai yang hanya berjaya menduduki tangga kelapan kejohanan Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021.
Menurut Jangs, dia masih mahu belajar dari kesilapan sebagai seorang jurulatih dan sentiasa terbuka terhadap maklum balas dari para pemainnya.
“Bekas jurulatih Bigetron seperti S1nyo dan Boyka mungkin berbeza dari saya, namun saya mempunyai cara tersendiri untuk melatih pemain-pemain saya.
“Namun demikian, saya masih mahu belajar untuk memperbaiki kesilapan saya, bahkan saya sering bertanya kepada anak-anak (pemain Bigetron) tentang kekurangan saya sebagai seorang jurulatih,” kata Jangs.
Jangs turut berkongsi pengalamannya mendapatkan maklum balas dari pemain-pemainnya yang antaranya merupakan bekas pemain terbaik dunia.
“Mereka juga tidak segan untuk memberitahu kesilapan saya, sehingga Bagus (Luxxy) meminta maaf lebih dari tiga kali ketika dia memberi komen mengenai apa yang saya perlu diperbaiki.
“Namun demikian dia mengetahui bahawa saya terbuka untuk mendengar komen-komen mereka dan menegur kesilapan saya kerana saya sudah menjadi seperti seorang teman rapat bagi mereka,” jelas Jangs.
Tambah Jangs, pasukannya turut melakukan perbincangan untuk meluahkan idea dan perasaan tentang bagaimana cara untuk memperbaiki prestasi pasukan.
“Selepas kejohanan tamat, para pemain meluahkan perasaan mereka mengenai prestasi masing-masing dan selepas itu kami sudah tidak fikir mengenai kejohanan tersebut, sebaliknya, terus fokus untuk kejohanan akan datang,” kata Jangs.
Tidak boleh dinafikan faktor seperti masalah kesihatan pemain telah menjejaskan momentum pasukan Bigetron RA dalam persiapan menjelang kejohanan PMPL SEA ini.
Namun demikian, perjuangan pasukan bekas juara dunia tidak terhenti di situ sahaja.
Pasukan itu akan terus berjuang di liga Indonesia musim keempat nanti dalam misi kelayakan ke Kejohanan Dunia PUBG Mobile (PMGC).
Jangs juga sempat mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Bigetron Red Aliens yang sentiasa memberi semangat kepada pemain-pemainnya sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
Jangan lupa saksikan kebangkitan semula Bigetron Red Aliens di PMPL Indonesia di musim keempat nanti.