Connect with us

PUBG Mobile

Isu Ban: Mortal mula main Valorant, ScoutOP rindu rutin latihan pagi

Published

on

SELEPAS kerajaan India membuat keputusan untuk mengharamkan PUBG Mobile di negara itu pada 28 Ogos lalu, ada dalam kalangan pemain terkemuka India memilih untuk memulakan babak hidup yang baharu dengan mencuba e-sukan yang lain.

Pemain PUBG Mobile bagi pasukan Fnatic, Tanmay Singh (ScoutOP) mengakui dia terpaksa menerima hakikat bahawa perkara yang baik tidak akan berkekalan lama.

“Sekarang ini baru saya rasa betapa besarnya impak PUBG Mobile, terutama dari segi emosi. Usaha untuk berlatih selama berjam-jama, mempelajari perkara baharu dan bergembira bersama-sama kawan, semuanya sudah hilang.

“Benarlah memang perkara baik tidak akan bertahan lama.

“Saya sangat merindui rutin latihan pada waktu pagi,” kata ScoutOP dalam satu status di media sosial baru-baru ini.

ScoutOP merupakan antara nama besar dalam komuniti PUBG Mobile India.

Dalam kejuaraan Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur pada bulan Julai, ScoutOP yang dipinjamkan ke pasukan Orange Rock meraih tempat kedua dan membawa pulang kira-kira RM200,000 (AS$55,000).

ScoutOP juga sudah mula melakukan penstriman langsung permainan yang lain termasuk Free Fire pada semalam dan meraih 2.2 juta tontonan setakat ini.

Sementara itu, salah seorang personaliti tersohor PUBG Mobile di India, Naman Sandeep Mathur (Mortal) yang mempunyai 6.13 juta pengikut di YouTube mula bermain e-sukan yang lain seperti Valorant pada Ahad lalu.

“Buat pertama kalinya saya melakukan penstriman langsung Valorant. Saya menghargai mereka yang menonton dan sama-sama menikmati keseronokan permainan,” kata Mortal di Twitter.

Pada minggu lalu, Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India mengambil tindakan untuk mengharamkan 118 aplikasi termasuk PUBG Mobile berdasarkan Seksyen 69A Akta Teknologi Maklumat kerana dilihat akan memudarat keselamatan dan kententeraman negara itu.

Berikutan situasi itu, PUBG Corporation membuat keputusan tidak lagi membenarkan Tencent Games menerbitkan francais PUBG Mobile di negara itu.

Menurut PUBG Corporation, pihaknya telah membuat keputusan untuk mengambil alih urusan dan tanggungjawab penerbitan yang berkaitan di india.

PUBG Mobile merupakan versi mudah alih PLAYERUNKNOWN’S BATTLEGROUNDS (PUBG), iaitu harta intelek yang dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat gaming Korea Selatan, PUBG Corporation.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved