Connect with us

PUBG Mobile

Haram guna UC untuk tikam – Pejabat Mufti

Published

on

PADA semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu penulisan di laman rasminya telah menjelaskan dua hukum yang berkaitan dengan wang dalam permainan PUBG Mobile Unknown Cash (UC) iaitu:

HARAM: Jika pemain membeli UC dengan wang ringgit untuk menikam dan membuka peti-peti (crates) barang-barang tersebut.

Huraian: Ia mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.

HARUS: Jika UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, seperti duit Silver dan sebagainya.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja.

“Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada,” katanya dalam satu penjelasan dalam satu tulis di laman web pejabat Mufti WP semalam.

Menurut analisis dan pemerhatian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya mendapati kaedah transaksi itu bermasalah atas beberapa sebab termasuk  pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat.

Katanya, pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat.

“Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja.

“Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan,” jelasnya dalam penulisan yang sama.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menjelaskan konsep tersebut dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian.

“Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:

  • Disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
  • Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
  • Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah (zero-sum game).

“Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas.

“Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki,” tambah pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved