Connect with us

Mobile Legends

MPL: Had umur 16 tahun untuk jaga kebajikan atlet – Moonton

Published

on

KUALA LUMPUR – Penganjur Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia dan Singapura, Moonton, menjelaskan had umur yang diperkenalkan pada musim ini adalah bagi menjaga kebajikan atlet.

“Atlet yang bertanding dalam MPL diberikan gaji, lengkap dengan satu ikatan kontrak dan penjanjian penajaan, sama seperti atlet sukan yang lain.

“Peraturan had umur minimum 16 tahun yang diperkenalkan pada musim ini adalah untuk menjaga kebajikan atlet profesional dan sistem tadbir urus dalam liga kami,” kata Moonton kepada What’s The Meta Today.

Menurut Moonton, meski peraturan itu diperkenalkan, kandungan Mobile Legends dinilai sebagai PEGI 7 di UK, ESRB E10+ di Amerika Syarikat.

Ini bermaksud, e-sukan itu sesuai bagi mereka yang berusia 7 tahun ke atas di UK dan 10 tahun ke atas di Amerika Syarikat.

BACA: MPL: Kenapa penganjur perlu tukar had umur?

Pada semalam, bapa kepada pemain kompetitif Isaac Chang How (Proler), Chang Ket Keong, meluahkan rasa kecewa kepada penganjur MPL Malaysia dan Singapura berikutan peraturan had baru yang diperkenalkan pada musim ini.

Ket Keong berkata anaknya yang sebelum ini bermain untuk  pasukan Sabah Top Player (STOP) pada musim lalu tidak boleh menyertai pusingan kelayakan MPL kali ni berikutan faktor umur.

Peraturan MPL Malaysia dan Singapura Musim Kelima menetapkan setiap pemain yang mahu menyertai liga itu perlu berusia 16 tahun dan ke atas.

Dalam peraturan 3.2.1 menyebut: “Tiada pemain yang layak menyertai MPL Malaysia dan Singapura Musim Kelima jika tidak mencecah usia 16 tahun. 

“Pemain mesti melepasi umur 16 tahun, jika tidak, mereka akan dihalang daripada menyertai MPL-MY / SG S5. 

“Umur pemain akan dikira mengikut tarikh lahir yang tepat, bukan tahun kelahiran.”

MPL Malaysia dan Singapura Musim 5 merupakan liga utama untuk Mobile Legends bagi kedua-dua negara ini. 

Liga ini merangkumi peringkat kelayakan dan Musim Liga yang berlangsung dalam talian, diikuti dengan acara secara langsung playoffs di mana lapan pasukan terakhir akan bertempur untuk berkongsi hadiah terkumpul bernilai  kira-kira RM410,000. 

Pusingan kelayakan Malaysia akan bermula dari 7 hingga 9 Februari 2020, manakala pusingan kelayakan Singapura akan berlangsung dari 15 hingga 16 Februari 2020. 

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved