Mobile Legends
“Dapat juga bawa orang tuaku pergi umrah” – Gripex

KUALA LUMPUR – Pemain kompetitif dan penghibur penstriman langsung Shopee Bosskurr Andi Alfian Firman (Gripex) meluahkan rasa bersyukur apabila dapat membawa ibu bapanya melakukan umrah.
“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga membawa kedua orang tua saya melakukan umrah, bagi pergi dan kembali (ke Malaysia),” kata Gripex.
Gripex berkata demikian dalam satu catatan Instagramnya pada malam tadi.
Menerusi gambar Instagram itu, Gripex dilihat bergambar bersama keluarganya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, (KLIA).
Ia turut mendapat reaksi dan komen positif dalam kalangan peminat. Antaranya, pengguna Instagram @abrarfik berkata: “Syukur rezeki dari Allah setelah penat berusaha.”
Gripex turut dilihat membalas komen itu dengan berkata: “Alhamdulillah. Seharapnya bagi mereka yang melihat posting ini dapat membawa ibu bapa masing-masing melakukan umrah walaupun hidup susah.”
Gripex merupakan salah seorang ahli utama organisasi e-sukan popular tanah air, Bosskurr Gaming (Bosskurr).
Sejak penglibatannya dalam e-sukan, Gripex telah banyak kali mengharumkan nama negara terutama di pentas Asia Tenggara.
Antara pencapaian Gripex bersama pasukannya termasuk juara Mobile Legends Piala Asia Tenggara (MSC) peringkat Malaysia 2017, juara Kejohanan Mobile Legends eCurve 2018, juara kejohanan TODAK 2019.
Gripex juga antara pemain yang mewakili Malaysia dalam kejohanan MSC pada tahun lalu di Indonesia.
Gripex turut menyertai liga profesional (MPL) Malaysia dan Singapura selama empat musim berturut-turut.
Selain bergelar seorang pemain kompetitif, Gripex juga seorang penghibur penstriman langsung bersama Facebook Gaming.