Mobile Legends
Geek Fam tembus pasaran Indonesia menerusi Mobile Legends
KUALA LUMPUR – Organisasi e-sukan Geek Fam mencatat sejarah tersendiri apabila mereka akan meluaskan empayarnya dalam industri ini ke negara jiran Indonesia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Geek Fam berkata inisiatif pertama mereka untuk ke pasaran Indonesia adalah menerusi permainan video paling popular di negara itu, iaitu Mobile Legends : Bang Bang (MLBB).
“Salah sebuah pasukan MLBB Indonesia, Team SFI Critikal akan menjadi naungan Geek Fam dan kami sedang merancang untuk menyertai Liga Profesional MPL Musim Keempat.
“Ketika ini kami sedang mengatur barisan pemain pasukan dan mencari mereka yang berkelayakan bagi bahagian pengurusan.
“Sudah tentunya kami sangat teruja untuk memberi impak dalam landskap e-sukan Asia Tenggara,” katanya.
Geek Fam yang diasaskan pada November 2016 telah menjadi antara nama besar dalam arena kompetitif e-sukan Asia Tenggara.
BACA: MPL: 4484 Hong Kong style Geek Fam manjakan harimau EVOS
Hasrat Geek Fam sejak penubuhannya itu tidak pernah berubah, apabila matlamat utama mereka adalah untuk mengumpulkan pemain-pemain di Asia Tenggara untuk sertai mereka.
“Kami berusaha untuk mengambil pemain dari serata negara Asia Tenggara seperti Xepher dari Indonesia dan Skemberlu dari Filipina untuk e-sukan Dota 2 serta Amoux dari Singapura (MLBB) dengan hasrat untuk mempelbagaikan jadual pemain dan menjadikannya multinasional.
“Dengan sasaran itu, langkah pertama pertama kami bagi menjadikan penyertaan Geek Fam dalam lebih kukuh di Asia Tenggara adalah dengan mengembangkan organisasi ini ke Indonesia,” jelasnya.
Selain MLBB, Geek Fam turut mempunyai pasukan Dota 2 dan PUBG yang tersendiri. Mereka juga bakal mengadakan pasukan PUBG Mobile pada masa akan datang.
“Kami telah mencapai satu tahap kejayaan yang tertentu seperti merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan dalam setiap e-sukan kami sertai.
“Banyak jenama telah mengiktiraf rekod prestasi kami dan kami bersyukur dengan peluang untuk berkolaborasi dengan mereka seperti Acer Predator, HyperX dan Umobile. Mereka adalah penaja rasmi kami.
“Selain itu, kami juga menghargai sokongan dan dorangan daripada peminat kami yang kami gelarkan sebagai Fam, tidak kira ketika berada di atas atau di berada di bawah.”
Bagi anda yang mahu mengetahui perkembangan terkini pasukan MLBB Indonesia Geek Fam, boleh layari fb.com/geekfammlbb.id.
