Connect with us

Mobile Legends

MSC: Geek Fam mahu guna Estes pada Playoff

Published

on

2EZ4JEPV: Kami ingin tunjuk kepada semua, siapa Estes yang sebenarnya. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

MANILA – Pasukan Mobile Legends : Bang Bang (MLBB) yang mewakili Malaysia dalam Piala Asia Tenggara (MSC), Geek Fam berhasrat untuk menggunakan hero support, Estes dalam pusingan penentu (playoff) kejohanan itu.

Kapten pasukan tersebut Mohd Haqqani Jaafar (2ez4jepv) berkata, jika Geek Fam mempunyai peluang ke pusingan penentu, mereka mahu menunjukkan kepada pihak lawan mengenai kekuatan Estes.

“Sebenarnya kami belum keluarkan lagi meta (strategi paling efektif) dalam pusingan peringkat kumpulan ini kerana kami perlu berhati-hati dan pilih hero yang terbaik berdasarkan situasi perlawanan.

“InsyaAllah, jika ada rezeki Geek Fam untuk ke pusingan penentu, kami akan menggunakan Estes. Kami ingin tunjuk kepada semua, siapa Estes yang sebenarnya. Sejauh mana kekuatan Estes, kami akan tunjuk.

“Tapi tunggu sahajalah jika ada rezeki ke peringkat suku akhir,” kata 2ez4jepv kepada What’s The Meta semalam.

Estes merupakan hero support dalam MLBB dan mempunyai kuasa penyembuh.

2ez4jepv berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang pasukan Thailand yang juga juara MSC 2017, IDNS Esports pada pusingan peringkat kumpulan A semalam.

Dalam pusingan peringkat kumpulan itu, Geek Fam menang menentang IDNS Esports 2-1, namun tewas kepada pasukan tuan rumah Bren Esports 2-1.

Berikutan keputusan itu, Geek Fam perlu melalui pusingan Play-Ins pada Jumaat ini.

Selain 2ez4jepv, pemain-pemain Geek Fam terdiri daripada Nik Aqieff Nik Muhd Muhyyiddin (Dominus), Amirul Shafiq Mohd Amir (Feekz) Mohd Zul Hisham Mohd Noor (Xorn) Muhammad Nazmie Khalid (Artz) dan Muhammad Arif Abdul Halim (Rippo).

Pertempuran epik antara pasukan-pasukan terbaik MLBB Asia Tenggara kembali buat edisi ketiga yang menyaksikan sembilan negara bertempur untuk memburu gelaran terbaik rantau ini.

Kejohanan MSC bakal menyaksikan 12 pasukan rantau ini memburu hadiah wang terkumpul kira-kira RM500,000 (USD$120,000).

MSC yang berlangsung di SMART Araneta Coliseum, Manila Filipina itu menyaksikan penglibatan pasukan-pasukan MLBB terbaik dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, dan Kemboja.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved