Connect with us

Mobile Legends

Family bagi kekuatan bila saya ‘ditembak’ netizen – Smooth

Published

on

Foto: Mobile Legends / Moonton

TIADA apa lagi yang perlu diragukan untuk terus memandang ke hadapan dalam menceburi sesuatu yang diminati jika menerima sokongan keluarga.

Itu kekuatan pemain profesional Mobile Legends Team SMG, Aeliff Adam Md Ariff (Smooth), yang menyifatkan sokongan keluarganya dalam bidang e-sukan sentiasa membantu dalam membentuk ketahanan mentalnya.

“Ibu bapa saya sentiasa memberi semangat dan tenaga positif walaupun saya selalu ‘kena tembak’ dengan warganet.

“Kata-kata ibu bapa yang menguatkan saya untuk menjadi pemain yang lebih baik,” kata Smooth.

Smooth berkata demikian dalam satu temu bual Liga Profesional Mobile Legends Malaysia Musim Ketujuh (MPL S7) selepas pasukannya memenangi perlawanan menentang Todak 2-1 semalam.

Kemenangan Team SMG ke atas penyandang juara MPL S6 itu sekaligus mencipta satu harapan baru selepas kalah berturut-turut sejak minggu pertama liga.

Mutu persembahan Team SMG juga dilihat bertambah baik dan sangat berkeyakinan tinggi berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini terutama pada pusingan akhir menentang Todak semalam.

Team SMG dilihat mampu mengawal Land of Dawn sehingga mampu mengutip mata bunuh tanpa balas selama 11 minit dan 28 saat.

Pasukan itu berjaya mengutip 13 mata bunuh dari Todak yang dilihat tidak mampu membalas kembali serangan Team SMG.

Mengulas mengenai prestasi Team SMG, Smooth menyifatkan kemenangan Team SMG itu juga adalah hasil daripada kerjasama rakan-rakan sepasukannya yang semakin baik selepas mengukuhkan keserasian.

Jelas Smooth, keserasian Team SMG itu dibina dengan lebih baik kerana panduan dari jurulatihnya, James Chen.

“Kami memang sedih dan kecewa dengan mutu persembahan kami sebelum ini. Jadi kami cuba menguatkan mental dan keserasian dengan meluangkan masa bersama-sama di luar permainan.

“Jurulatih kami juga memberi penerangan yang sangat terperinci. Dia juga boleh mengenal pasti kelemahan kami sama ada di dalam permainan atau di luar permainan.

“James berkata kalau corak permainan kami tidak berubah walaupun dia sudah memberi penerangan dalam permainan, ia bermaksud kami ada masalah di luar permainan. Alhamdulillah, dia tolong kami dan masalah kami pun sudah selesai,” kata Smooth dalam temu bual yang sama.

Team SMG sebelum ini tewas kepada Orange Esports dan pasukan peringkat kelayakan Homebois dengan mata 1-2.

Namun menerusi kemenangan bergaya menentang Todak itu, Team SMG sekurang-kurangnya dapat memperbaiki kedudukan di peringkat Kumpulan A dengan berada di tempat keempat ketika ini.

Selain Smooth, Team SMG terdiri daripada Muhammad Aiqal Amran (Saiyajinn), Muhammad Zaim Amir Izat (ZaimSempoi), Saw Kee Loong (Loong) dan Muhammad Aliff Najmi Zahrizan (Fakez).

Dalam perlawanan menentang Todak semalam, Saiyajinn dan Fakez muncul sebagai pemain terbaik.

MPL S7 telah bermula sejak 13 Mac lalu dan disertai 10 pasukan Mobile Legends terbaik tanah air.

Ia menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000 (AS$100,000) secara keseluruhan. Saksikan secara langsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 2 petang di Facebook atau YouTube Mobile Legends.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved