Mobile Legends
Sekys tukar emblem sebab Kairi

BERISIKO tapi berbaloi.
Itulah situasi yang boleh digambarkan apabila pemain Jungler Yoodo Red Giants, Sekys, menukarkan emblem yang selalu digunakan kepada emblem yang baru dalam kejohanan antarabangsa Siri Profesional ESL Snapdragon MLBB 2023.
Dalam perlawanan menentang RSG Filipina pada malam tadi, Sekys dan pasukannya berjaya meraih mata bersih 2-0.
Pada perlawanan kedua, Sekys yang menggunakan hero Martis dengan emblem Brave Smite dipilih sebagai pemain terbaik (MVP).
Jelas Sekys, dia sebenarnya selalu menggunakan emblem Killing Spree berbanding Brave Smite.
“Ketika bermain, saya memang akan menggunakan Killing Spree. Namun ketika kami berehat (selepas berlawan dengan ECHO) saya tonton perlawanan Kairi (pemain Jungler ONIC Indonesia).
“Saya lihat dia menggunakan Brave Smite dan saya mahu mencuba.
“Sekali dapat Maniac,” tambah Sekys.
Dia berkata demikian menerusi satu temu bua dalam Kejohanan Siri Profesional ESL Snapdragon MLBB 2023 pada malam tadi.
Brave Smite merupakan emblem yang mengembalikan 5% MAX HP (regen), apabila skil hero memberikan kesan damage kepada musuh.
Manakala Killing Spree adalah emblem yang juga akan memberikan regen iaitu 8% MAX HP dan meningkatkan kepantasan pergerakan hero sebanyak 15% selama 3 saat selepas menumpaskan pihak musuh.
Sementara itu, Sekys yang melakukan debut di kejohanan antarabangsa mengakui dia sedikit gemuruh.
“Saya takut juga kalau saya tidak perform (beraksi dengan baik).”
“Tapi Alhamdulillah, hari ini saya dapat bermain dengan baik,” tambah Sekys dalam temu bual yang sama.
Sekys dan Yoodo Red Giants akan kembali bermain esok, bagi saingan peringkat kumpulan A Siri Profesional ESL Snapdragon MLBB 2023.
Setakat ini Yoodo Red Giants mencatatkan 1 kemenangan (2-0 vs RSG Filipina) dan satu kekalahan (1-2 vs ECHO)
Selain Yoodo Red Giants, wakil Malaysia turut disertai Todak Apprentice yang berada di Kumpulan B.