PUBG Mobile
Dr TA jelaskan kenapa 3 pemain turun Novo, 1 Severny

KUALA LUMPUR – Pasukan PUBG Mobile tanah air, Dr Internet Taugeh Ayam (Dr TA) dalam satu video yang dimuatnaik baru-baru ini telah menghuraikan secara mendalam mengenai pilihan strategi pasukannya pada peringkat Super Weekend 3, Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Ketiga (PMPL MYSG S3) 2021.
Menurut Dr Ta, penjelasan video dilakukan bagi menafikan segala tuduhan yang dilontarkan kepada pihaknya.
“Kami bertanding secara adil dan sihat,” kata Dr Ta dalam kapsyen video itu.
Dalam video berdurasi 7 minit 20 saat itu, pengurus Dr Ta, Muhammad Amirul Hazim Alias (Topcast) menjelaskan mengapa pasukannya memilih untuk menghantar seorang pemain ke daerah Severny dan tiga orang di Novorepnoye pada pusingan akhir Super Weekend 3 PMPL MYSG S3.
Menurut Topcast, pasukannya masih mahu mencuba untuk mendapatkan mata bunuh (kills) yang banyak bagi merebut kedudukan tempat kedua liga.
Topcast berkata, situasi Dr Ta untuk mendapatkan kills terbanyak bagaimanapun akan terjadi jika pengecilan zon selamat berlaku di pulau Sosnovka Military Base (SMB).
“Arah penerbangan (di Erangel) menujukkan dari Novorepnoye menuju ke Severny. Sekiranya J8 Esports tidak mendarat di bahagian Novorepnoye, kami mahu mendarat di kawasan itu.
“Kami mahu mengejar kutipan mata bunuh terbanyak dengan menguasi bahagian SMB,” kata Topcast.
Meski memilih untuk mendarat di bahagian Novorepnoye, Topcast berkata Dr Ta tidak akan meletakkan kesemua pemainnya di situ.
Jelas Topcast, ia berikutan trend pengecilan zon selamat dalam PMPL MYSG S3, tidak selalu menghala ke bahagian SMB.
“Sebab itu akan ada satu pemain Dr Ta di Severny sekiranya zon mengecil di bahagian utara,” kata Topcast.

Topcast berkata, peranan seorang pemain di Severny itu adalah untuk melakukan pemantauan di kawasan itu.
Sementara itu, menerusi pengulasan dalam permainan pusingan keenam hari kedua Super Weekend 3, pengulas e-sukan Azrul Anwar (J Hunter) berkata strategi Dr Ta itu dilihat seperti pemikiran di luar kota apabila pasukan itu meletakkan pemain-pemainnya di dua kedudukan yang jauh antara satu sama lain.
Selain pusingan keenam hari kedua Super Weekend 3, Dr Ta juga dilihat pernah melakukan strategi pembahagian kedudukan pemain itu pada pusingan kelima hari pertama Super Weekend 3 PMPL MYSG S3.

Topcast berkata dia berharap dengan penjelasan video itu, orang ramai boleh mengurangkan kata-kata toxic (kurang enak) kepada pasukannya.
“Anda juga mengulangi menonton video penjelasan itu, tanpa mempunyai rasa berat sebelah.
“Mohon jangan toxic (tutur kata-kata kurang enak) pemain Dr Ta. Kasihanilah, mereka.
“Ramai pemain Dr Ta masih baru (dalam PMPL) dan menunjukkan mutu persembahan yang baik namun kena toxic,” kata Topcast mengakhiri video penjelasan itu.
Selepas tiga minggu peringkat Super Weekend berlangsung, Dr TA mengumpul 307 mata secara keseluruhan dan berada di ranking keempat liga.
Pasukan yang baru meningkat naik itu pernah mencatatkan rekod dua Chicken Dinner berturut-turut pada hari pertama Super Weekend 2.
Dr TA akan kembali beraksi di peringkat Grand Final PMPL MYSG S3 pada 23-25 April nanti.
Dua pasukan teratas pada peringkat grand final itu akan memperoleh slot ke peringkat akhir PMPL Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021.
Tonton secara langsung aksi Dr TA menentang pasukan-pasukan PUBG Mobile terbaik tempatan di Facebook dan YouTube PUBG Mobile.