Connect with us

PUBG Mobile

#HahagusKuat: Doktor kata Hahagus masih lagi ‘ditidurkan’ – Abang

Published

on

Foto Arkib: Instagram / Hahagus. (11 Ogos 2021)

KUALA LUMPUR – Jurulatih pasukan PUBG Mobile, SEM9.GANK, Agusalim Amran (Hahagus) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sg Buloh sejak Rabu lalu masih lagi ‘ditidurkan’ sehingga hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh abang Hahagus, Ali Sofhuan Amran pada petang tadi kepada WTM Today.

“Sebentar tadi (kira-kira jam 6 petang), doktor baru sahaja menghubungi saya. Hahagus masih lagi ‘ditidurkan’ dan menggunakan mesin alat pernafasan.

“Doktor akan memantau keadaan Hahagus dalam dua-tiga hari ini dengan penuh harapan yang dia akan sembuh sendiri. Dia masih belum dalam keadaan baik,” kata Ali menerusi satu pesanan ringkas kepada WTM Today.

Ali juga berkata dia berterima kasih kepada komuniti e-sukan dan orang ramai yang mendoakan adiknya.

“Terima kasih kepada semua yang tidak berputus asa bertanya khabar Hahagus.

“Terima kasih kerana sudi mendoakan Hahagus. InsyaAllah, Allah akan membalas kebaikan anda semua.

“Terima kasih banyak-banyak,” tambah Ali.

Ali juga berkata dia berterima kasih kepada ibu jurulatih Anti Circle, Aiman Halim (Slydd) kerana telah banyak membantu urusan keluarganya.

Difahamkan Hahagus telah dikejarkan ke hospital pada 28 Julai yang lalu kerana dijangkiti Covid-19.

Hahagus kemudiannya disahkan sebagai pesakit kategori keempat Covid-19.

Berikutan keadaan paru-paru yang semakin tidak sihat, Hahagus telah dimasukkan ke ICU pada awal pagi Khamis. 

Kira-kira selepas 12 jam dimasukkan ke ICU, Hahagus memaklumkan kepada WTM Today bahawa dia akan ‘ditidurkan.’

Hahagus merupakan jurulatih e-sukan yang cukup dikenali di Malaysia dan Asia Tenggara.

Hasil bimbingan Hahagus, Malaysia memenangi kejohanan Asia Tenggara pertama bagi e-sukan PUBG Mobile menerusi pasukan Yoodo Gank pada 2020.

Sebelum bergelar sebagai seorang jurulatih, Hahagus merupakan seorang pemain kompetitif PUBG.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved