Connect with us

PUBG Mobile

Di sebalik ‘Alat Pembeli Circle’, Mosraemon Last Survivor R2K

Published

on

'Membeli' circle sebenarnya memerlukan skil menganalisis yang mendalam. Skil itu menjadi kekuatan dan keunikan pasukan Last Survivor R2K.

NAMA Last Survivor R2K mungkin tidak lagi asing dalam kalangan komuniti e-sukan PUBG Mobile. 

Pasukan itu mula mendapat perhatian ramai setelah menunjukkan aksi yang baik pada peringkat Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG).

Kapten Last Survivor R2K, Mosleh Subairi (Mosgoku) turut menjadi sebutan peminat PUBG Mobile Malaysia, dengan gelaran popular ‘Mosraemon’ kerana kepintarannya menganalisis penutupan bulatan dalam permainan yang seterusnya memberi kelebihan kepada pasukannya.

Keunikan menganalisis Mosgoku itu juga dikenali sebagai ‘Alat Pembeli Circle’ dalam kalangan komuniti berikutan peratusan ramalannya yang agak tinggi dan tepat.

 Bukan sekadar ‘beli’ circle

Jelas Mosgoku, setiap penutupan bulatan mempunyai cara kiraan dan bacaan ramalannya yang tersendiri.

“Kami bukan ‘beli’ circle. Perkara itu memang memerlukan analisis yang mendalam untuk membaca cara penutupan bulatan.

“Ia melihat kepada cara kami meramal kedudukan airdrop dari kapal terbang dari satu kawasan ke satu ke kawasan. Ia ada caranya, tidak kisah dalam classic, advanced room atau dalam PMPL, setiap zon mempunyai cara penutupan yang berbeza.

“Jika tengok cara permainan Last Survivor R2K, pada peringkat awal atau pada hari pertama memang kami murung atau ada orang kata kami bermain seperti bot. Tapi sebenarnya kami sedang membaca cara penutupan circle,” kata MosGoku.

MosGoku yang bertindak sebagai jurulatih pasukan itu juga berkata cara pembacaan ramalan penutupan bulatan perlu dilakukan dengan pantas.

Jika tidak, ia akan memberi kesan kepada pasukannya.

“Kalau kami lambat study, akan merugikan masa kami juga,” katanya.

The underdog bites back

Pasukan Last Survivor R2K merupakan antara pasukan yang tidak mendapat tajaan sehingga hari ini namun ia tidak bermaksud mereka tidak boleh beraksi dengan cemerlang.

Last Survivor R2K baru-baru ini meraih kedudukan di tempat ke-4 dalam Grand Final PMPL MY/SG dengan kutipan markah sebanyak 203 mata secara keseluruhan.

Meski tidak diletak sebagai pasukan pilihan untuk mewakili Malaysia ke peringkat Asia Tenggara, usaha dan kegigihan Last Survivor R2K dalam PMPL MY/SG wajar dipuji kerana mereka telah mencipta pelbagai rekod dalam PMPL MY/SG, antaranya:

  • Pasukan pertama mendapat back-to-back (berturut-turut) Chicken Dinner pada peringkat liga
    • Rekod dilakukan pada hari kelima, minggu pertama PMPL MY/SG pada pusingan pertama di Vikendi dan seterusnya di Miramar. 
  • Pasukan pertama mendapat 3 Chicken Dinner dalam satu hari
    • Rekod dilakukan pada hari kelima, minggu pertama PMPL MY/SG pada pusingan pertama di Vikendi, pusingan kedua di Miramar dan pusingan keenam di Erangel.
  • Raja Erangel
    • Pasukan itu meraih 7 Chicken Dinner secara keseluruhan dalam peta itu (4 di peringkat liga, 3 di Grand Final)
  • Pasukan yang meraih paling banyak Chicken Dinner di Grand Final PMPL MY/SG
    • Last Survivor R2K mengutip 5 Chicken Dinner dari 18 pusingan yang dipertandingkan di Grand Final 

Last Survivor R2K hanya mempunyai perbezaan 7 mata berbanding penyandang tempat ketiga, Bigetron AROV yang berpengalaman ke Liga Asia Tenggara PMCO selama dua kali berturut-turut pada tahun lalu.

Memilih untuk terus memandang ke hadapan, MosGoku berkata pasukannya berhasrat untuk lebih bersedia bagi berdepan semua rintangan yang mendatang.

“Kami akan memperbaiki dari segi killing  pada setiap pusingan. Kami sebenarnya bukan tidak boleh barbar (merusuh pihak musuh) cuma keutamaan kami adalah pada zon aman.

“Jika kami menguasai di bahagian zon, kami akan cuba mendapatkan mata bunuh sebanyak mungkin,” katanya.

Slot durian runtuh

Mungkin ramai tidak mengetahui apabila Last Survivor R2K sebenarnya tidak layak ke peringkat liga selepas tidak melepasi pada pusingan kelayakan PMPL MY/SG.

Pada peringkat kelayakan, pasukan itu hanya berada di kedudukan 13 daripada 17 pasukan yang bersaing.

Namun bagai bulan jauh ke riba, Last Survivor R2K mendapat slot durian runtuh ke peringkat liga itu selepas pasukan MReKINGXP disingkirkan kerana difahamkan telah melanggar peraturan.

“Kami tidak beraksi dengan baik pada pusingan kelayakan kerana masalah peribadi masing-masing ketika itu.

“Jadi, kami memang rasa gembira sebab apabila mendapat peluang untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terkuat di Malaysia dan Singapura,” tambahnya.

Selain MosGoku, pemain Last Survivor R2K terdiri daripada:

  • Mosleh Subairi (MosGoKu)
  • Nur Syafiq Putra (NSP)
  • Muhammad Haziq (Zykz)
  • Ahmad Aiman (Echong)
  • Azrul Nizam (Flexx)

Last Survivor R2K kini bukan lagi underdog

Pasukan itu telah membuktikan yang mereka wajar digeruni dan ditakuti kerana keunikan dan analisis pembacaan ramalan penutupan bulatan. 

Adakah mereka mampu mengekalkan prestasi ini pada PMPL akan datang?

Jika anda merindui untuk melihat corak permaianan Last Survivor R2K, ayuh nyanyi lagu Mosdoraemon di sini: Alat Pembeli Circle – Mosdoraemon

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved