Mobile Legends
Di mana identiti kita dalam Mobile Legends? – Kuja
JURULATIH Mobile Legends pasukan Orange Esports, Ajwad Mohd Yusof (Kuja) mencadangkan agar pemain-pemain tempatan mencipta corak permainan tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan meta (strategi) negara lain.
Menurut Kuja, Malaysia juga sewajarnya mencipta drafting (pemilihan/susunan) hero tersendiri.
“Kalau anda perasan, corak permainan yang Malaysia lakukan ketika ini kebanyakannya mengikut rentak negara Filipina dan Indonesia.
“Kalau Filipina kejar team fight (pertempuran), kita pun nak team fight. Kalau Indonesia kejar objektif, kita pun kejar objektif. Jadi kita punya identiti itu di mana?
“Kalau asyik mahu ikut orang, sampai bila-bila kita akan tersekat. Tersekat pada satu tahap yang apabila kita menang sesuatu permainan adalah kerana bernasib baik atau mutu persembahan kita lebih baik waktu tu,” kata Kuja.
Kuja berkata demikian dalam satu video penstriman langsung bersama pengulas e-sukan tanah air, Aiman Kamal (Laphel) pada Isnin lalu.
@wtmtoday “Jangan asyik ikut orang, Malaysia perlu ada identiti sendiri.” – Kuja ulas prestasi Malaysia di MSC. #mobilelegends #msc2021 #fyp #foryou #mlbb
Dalam video itu, Kuja turut memberi contoh yang Malaysia pernah mempunyai meta sendiri sebelum ini.
Jelasnya, Malaysia pernah digeruni kerana meta split push.
“Contoh identiti kita yang sudah hilang, adalah meta split push dan meta assassins. Mana pergi benda tu?
“Sedangkan, corak permainan Indonesia dan Filipina adalah team fight. Mereka cukup lemah jika Malaysia melakukan split push, tapi kita tidak menggunakan perkara itu.
“Kita lebih ke arah meniru perkara lain dan tidak menjadikan corak permainan kita tidak tulen,” tambah Kuja.
Meta split push dalam Mobile Legends adalah satu strategi yang digunakan oleh seseorang pemain yang memecahkan turrent pihak lawan tanpa disedari.
Strategi ini sering digunakan untuk melakukan comeback (kebangkitan) apabila sebuah pasukan dilihat ketinggalan dalam sesebuah permainan.
Sebelum bermain dan melatih pasukan Orange Esports, Kuja telah menyertai pelbagai pasukan Mobile Legends seperti Mystic Burden dan Team Saiyan. Kuja sering membuat kemunculan dalam Liga Profesional Mobile Legends (MPL).
Pada tahun 2017, Kuja pernah mewakili Malaysia ke peringkat Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Tonton video penuh di sini:
https://www.facebook.com/LaphelSeyy/videos/532403861457504/?__cft__[0]=AZUF5lN1G-Wou2hjORIOngdc8_eCmy3gD0xINnWHOXAs4b3fMc6stdpLhCdhSAgj3b3SUdz8HUBJfDii4ITSkTLxnjIOToEqybKg9_CcKVY6M2zDUvJRXc0fxqYNnjLpCrW_j6Vh55MV5m1up4idfXCPtHkruH2VMCI7JoQtO8_Vng&__tn__=%2CO%2CP-y-R
