Connect with us

PUBG Mobile

Dari live di McD sehingga ke gaming house, Vokey kini raih 200,000 pengikut di Facebook

Published

on

Kerja keras Vokey sehingga meraih 200,000 pengikut di Facebook.

SERINGKALI kita mendengar peribahasa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”

Pepatah Arab pun ada berbunyi, “Siapa berusaha dia akan dapat.”

Kedua-dua ayat ini memberi makna, jika kita benar-benarkan mahukan sesuatu perkara itu, yakni susah sekali pun, kita tidak akan mencari alasan sebab kita tahu, kita hanya mempunyai satu pilihan iaitu mencari jalan.

Kira-kira dua tahun yang lalu, apabila sedang menuntut pengajian matrikulasi bagi kursus kejuruteraan, Vokey diperkenalkan rakan-rakannya satu permainan mudah alih yang kini menjadi kegilaan anak muda, PUBG Mobile.

Vokey juga mula mengambil tahu mengenai pemain-pemain PUBG Mobile yang melakukan penstriman langsung seperti Ironpro, Trixnity dan Mr Kutat.

Sejak itu, Vokey cuba mengatur perjalanan hidupnya untuk menjadi pemain dan penghibur pengstriman langsung (streamer) PUBG Mobile.

Walau bagaimanapun, Vokey yang berusia 18 tahun ketika itu mempunyai sedikit kesulitan apabila iPhone 6 miliknya tidak lagi mampu untuk bermain PUBG Mobile.

“Selepas tamat matrikulasi, saya bekerja di kedai runcit. Hasil bekerja di situ selama empat bulan, saya dapat membeli iPhone XR.

“Ketika itu saya memang bercadang mahu menjadi streamer tapi tiada wifi. Jadi saya mula melakukan penstriman langsung di rumah bekas kekasih saya.

“Kemudian saya menggunakan data telko untuk penstriman langsung tapi rangkaian Celcom dan Digi tidak mempunyai hubungan yang stabil jadi saya menggunakan Maxis,” kata anak muda yang berasal dari Pekan Pahang itu.

Menurut Vokey atau nama sebenarnya Muhammad Imran Rosli, dia perlu mencari lokasi yang mempunyai jaringan yang stabil dan hasilnya dia ‘berkampung’ di restoran makanan segara McDonalds.

“Pada hari pertama di McDonalds, saya cuba untuk melakukan penstriman langsung selama tiga jam.

“Kemudian pada hari-hari yang berikutnya saya bermain dan melakukan penstriman langsung selama 8 jam di situ.

“Setiap hari, saya akan bekerja di kedai runcit selama 8 jam dan kemudian melakukan penstriman langsung selama 8 jam dan tidur antara empat-lima jam,” tambah Vokey.

Vokey berkata dalam urusan sehariannya itu dia tetap mengutamakan kewajipannya dalam menunaikan solat.

“Solat itu sebenarnya yang buat kita hilang penat walaupun saya ada juga qada’. Dengan usaha itu, dalam masa seminggu saya mendapat 20 tontonan ketika penstriman langsung.

“Memang sangat teruja ketika itu haha. Selepas itu, Fredo dan Draxx turut membantu menghantar penonton ke penstriman langsung saya untuk memberikan semangat.

“Penstriman langsung saya pun meningkat kepada 300 tontonan serentak,” kata Vokey.

Hasil usahanya dalam melakukan penstriman langsung selama tiga bulan, dia ditawarkan kontrak Facebook Gaming.

Gugur air mata jantan Vokey, kerana itu apa yang dia mahukan selama ini.

“Saya memang menangis ketika mendapat kontrak itu. Sejak itu saya mengambil pengajaran bahawa jika kita bekerja keras pasti akan berjaya.

“Sekarang saya sudah mempunyai 200,000 pengikut dan ini merupakan pencapaian terbaik dalam hidup saya.

“Saya mendoakan penonton dan pengikut diberi rezeki limpah ruah. Saya sayang anda semua,” luah Vokey.

Vokey yang kini berusia 20 tahun turut menceburi dunia kompetitif PUBG Mobile.

Kejohanan pertamanya adalah ketika bersama NED Esports, iaitu Selangor Cyber Games.

Beberapa bulan kemudian Vokey dipelawa untuk menyertai Resurgence MY bersama sahabatnya, IronPro.

Memegang kata-kata azimat untuk terus bekerja keras, Vokey kini mensasarkan untuk mendapatkan gelaran juara dunia PUBG Mobile dan berharap supaya lebih ramai terhibur dengan kandungan penstriman langsungnya.

Bagi anda yang ingin mengikuti perkembangan Vokey, boleh ke Facebook dan Instagramnya.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved