Connect with us

PUBG Mobile

Dari Kuala Pilah ke persada dunia dengan 10Mbps, ini cabaran Din Jumper

Published

on

Foto: WTM Today /Mariah Ahmad

KUALA LUMPUR- Pemain profesional bagi pasukan PUBG Mobile Nombor Satu Asia Tenggara, Yoodo Gank, Izzrudin Hashim (Jumper) mengalami kesulitan menjelang Liga Dunia (PMWL) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Jumper berkata dia berdepan dengan masalah kelajuan internet di kawasan perumahannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Internet adalah ibarat nyawa dalam e-sukan. Bagi pengetahuan anda, sehingga hari ini saya menggunakan wifi Streamyx dengan kelajuan 10 Mbps di kawasan perumahan saya.

“Jika saya sedang melakukan sesi latihan, kadang-kala ping akan mencecah sehingga 100-150 ms yang menyebabkan jaringan tersekat-sekat apabila bermain.

“Keadaan ini juga menyukarkan saya untuk bersaing secara kompetetif di peringkat Dunia (PMWL ) nanti kerana purata pemain-pemain luar negara hanya mengalami ping 20 – 30 ms,”kata Jumper dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Jumper, ketika bersaing di Final Liga Asia Tenggara pada Mei lalu juga dia menggunakan wifi Streamyx.

Walau keadaan itu memberi kesukaran namun Jumper berkata ternyata rezeki memenangi kejohanan itu milik pasukannya apabila dinobatkan yang terbaik di Asia Tenggara.

Jumper berharap dalam kejohanan dunia ini dia dapat melakukan persiapan rapi termasuk mendapat akses kelajuan internet yang terbaik.

“Saya sudah memohon kepada pihak TM untuk pemasangan Unifi di kawasan rumah saya di Kuala Pilah. Tapi katanya perlu menunggu permintaan ramai, baru boleh melakukan pemasangan.

“Lantaran itu, saya dengan rendah diri berharap jika pihak TM atau pihak berkaitan dapat membantu untuk memudahkan urusan saya untuk berjuang di kejohanan berprestij ini yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM3.2 juta.

“Namun sasaran saya bukan wang ringgit. PMWL merupakan satu platform yang besar untuk memberitahu kepada dunia, mengenai bakat-bakat pemain e-sukan di Malaysia,” tambah Jumper.

Jumper juga berkata selain membawa semangat Malaysia Boleh, dia juga berharap, penyertaannya bersama-sama rakan seperjuangan di PMWL dapat membuka mata orang ramai mengenai kebolehan atlet-atlet e-sukan tempatan.

“Kami bukan sekadar bermain game, kami sememangnya serius dalam e-sukan.

“Jadi, saya mahu memberikan yang terbaik untuk Malaysia tanpa kekangan Internet ini kerana PMWL melibatkan pasukan-pasukan terbaik PUBG Mobile dari seluruh dunia,” kata Jumper.

Pada Mei lalu, Jumper dan Yoodo Gank menggegarkan arena e-sukan PUBG Mobile apabila muncul sebagai juara Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL) Asia Tenggara.

Selain itu, Yoodo Gank juga membawa pulang Anugerah Pasukan Paling Popular (Malaysia) dan Anugerah Pemain Terbaik (Gunkiller Play

Sejak barisan ‘Team 2020’ Yoodo Gank diperkenalkan pada akhir tahun lalu, pasukan ini telah meraih pelbagai pencapaian antaranya:

  • Juara SEA Final Musim Pertama 2020
  • Naib Juara Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG) 2020
  • Naik Juara PMPL MY/SG (Peringkat Liga) 2020
  • Tempat Ketiga Selangor Cyber Games – Edisi Piala Duduk Rumah 2020
  • Tempat Ketujuh Kejohanan Peacekeeper Elite di China 2019

Kejayaan Yoodo Gank di Final PMPL Asia Tenggara itu turut direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved