Connect with us

PUBG Mobile

“Daddyhood sayang anak-anak buahnya” – Zee Team Bosskurr

Published

on

PENGASAS organisasi e-sukan popular tanah air Team Bosskurr, Nureddy Nursal (Daddyhood) sememangnya mengambil berat terhadap anak-anak buahnya, kata pemain PUBG Mobile Rizki Hidayat Abd Mutalib (Zee).

Zee berkata di sebalik ketegasan Daddyhood dalam kepimpinannya, penghibur penstriman itu juga sebenarnya seorang penyayang.

“Saya kenal Daddyhood sebagai seorang pemain dan juga sebagai seorang yang telah lama bekerja dengannya.

“Dia tegas, peramah, garang, penyayang dan penyabar. Daddyhood memang sayang anak-anak buahnya,” kata Zee.

Zee berkata demikian dalam satu temu bual bersama hos Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua, Andrew Cheong (Sir Cloud) selepas pasukannya Team Bosskurr memenangi Chicken Dinner di pusingan ke-12.

Team Bosskurr yang kini berada dalam misi untuk mendapatkan slot ke Grand Final PMPL Asia Tenggara (SEA Final) berada di kedudukan ke-11 dengan 73 mata secara keseluruhan.

Team Bosskurr perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 35 mata ketika ini untuk merampas kedudukan penyandang tempat keempat Grand Final, Axis Norlan MPX yang mengutip 108 mata ketika ini.

Gah paling atas ketika ini adalah Team SMG yang mengumpul 159 mata dan dilihat mempunyai potensi besar untuk ke SEA Final.

Sementara itu, dua gergasi Malaysia, Yoodo Gank dan Team Secret MY berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul 135 mata dan 119 mata.

Kedua-dua pasukan itu telah disahkan untuk melayakkan diri ke SEA Final selaku juara musim pertama kejohanan Asia Tenggara itu (Yoodo Gank) dan penyandang tempat pertama peringkat liga PMPL MYSG musim kedua (Team Secret MY).

Berbaki enam lagi pusingan, esok merupakan hari terakhir bagi pasukan-pasukan PUBG Mobile terbaik Malaysia untuk merebut slot ke SEA Final.

Tonton secara langsung Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua di Facebook PUBG Mobile.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved