Connect with us

Mobile Legends

Ciwing jadi jurulatih RSG MY ketika ini

Published

on

DIFAHAMKAN pemain Mobile Legends berpengalaman tinggi, Herwin Baharuddin (Ciwing Rush) yang bertindak untuk melatih skuad RSG MY ketika ini.

Menurut Pengurus Operasi RSG Malaysia, Aiman Wafiy, Ciwing Rush juga membantu meningkatkan disiplin ahli-ahli pasukan RSG MY sepanjang latihan dilakukan.

“Ya, Ciwing Rush melatih dan bantu pemilihan hero (drafting). Dia seperti ayah kepada pemain-pemain RSG.

“Ciwing Rush  juga membantu ketahanan mental RSG MY, selain menjaga disiplin pemain-pemain sebelum, semasa, dan selepas latihan,” kata Aiman kepada WTM Today semalam.

Ciwing Rush sebelum ini pernah mewakili Malaysia pada tahun 2017 dan 2018 bagi kejohanan Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) di Jakarta, Indonesia. Dia sebelum ini pernah menganggotai pasukan Team Saiyan yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Air Asia Saiyan.

Dia kemudiannya keluar dari pasukan itu dan menubuhkan Team Bosskurr bersama enam lagi pengasas yang lain.

Team Bosskurr diasaskan pada November 2018 oleh Ciwing Rush, Nureddy Nursal (Daddyhood), Faris Zakaria (Soloz), Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan), Andi Alfian Firman (Gripex), Sopian Sultan ( Penjahat) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

Ciwing Rush kemudiannya menubuhkan skuad Boss Pusher dan berjaya ke peringkat akhir Sesi Kelayakan Pemilihan Atlet-Atlet Sukan ke Sukan SEA 2019.

Pada tahun lalu, Ciwing Rush menyertai RSG MY dan mendapat jemputan terus ke Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL MY S7). Dalam kejohanan itu, RSG MY muncul sebagai juara.

RSG MY kini sedang bersaing di kejohanan MSC 2021 dan bakal bertemu dengan pasukan Thailand, IDNS pada peringkat kumpulan A  jam 2 petang nanti. IDNS sebelum ini pernah menjuarai MSC 2017.

Difahamkan juga, pemain veteran Mobile Legends Thailand, Chaiyakrit Buangern (Amy Thirty Thr33) yang sebelum ini menggunakan nama Amy Framzey bertindak sebagai jurulatih pasukan itu.

Kejohanan MSC disertai 12 pasukan terbaik daripada lapan negara Asia Tenggara dan disiarkan secara langsung mulai 7 Jun sehingga 13 Jun 2021.

Ia boleh disaksikan di Facebook dan YouTube Mobile Legends.

MSC 2021 menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM400,000 (AS$100,000) secara keseluruhan.

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved