Connect with us

PUBG Mobile

PMPL – Ini sebab kenapa Bossned ceburi e-sukan

Published

on

BOSSNED: Saya berharap kami boleh pergi ke peringkat yang lebih tinggi dan sentiasa merendah diri. - Foto Instagram / @boss_nedd

KUALA LUMPUR – Pasukan PUBG Mobile Ned Brotherhood mencatat rekod tersendiri apabila memenangi dua Chicken Dinner pada hari pertama Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG) pada semalam.

Ia sekali gus meletakkan skuad di bawah naungan organisasi NED Esports berada di kedudukan ketiga ketika ini dengan 94 mata, hanya satu mata di belakang Bigetron Malaysia.

Barisan pemain utama NED Brotherhood ketika ini adalah: 

  •  Mohd Afdhal Burihan – Atai10k -Kapten
  • Muhammad Danial Shahrom –  LUXXY98
  • Mohamad Saiful Annuar Shahrom – Eypul
  • Muhammad Abdul Samad –  xSamZie
  • Muhammad Aiman Mohd Abd Razak – Chinpuy

Pemilik pasukan e-sukan NED Esports, Nedim Sujak Nazri Aziz (Bossned) menyifatkan setiap hari adalah peluang untuk membangunkan sesebuah pasukan ke arah lebih baik.

“Saya sentiasa percaya mesti ada ruang untuk diperbaiki untuk skuad dan ia tidak mudah.

“NED Brotherhood sebelum ini kehilangan tiga ahli dan yang hanya tinggal ketika itu hanya Atai dan Eypul. Atai percaya pasukannya masih kuat jadi saya membuat keputusan untuk memindahkan Luxxy, Sam, dan Chinpuy ke skuad itu.

“Alhamdullilah, pasukan NED Brotherhood ketika ini adalah yang paling kuat kami pernah ada,” kata Bossned kepada What’s The Meta Today.

Jelas Bossned, dia bangga apabila anak-anak buahnya akhirnya mampu beraksi dengan pasukan profesional yang lain.

“Akhirnya mereka boleh menonjolkan potensi sebenar yang ada dalam diri masing-masing dalam e-sukan,” kata Bossned.

Bossned berkata dia mempunyai minat mendalam dengan permainan video sejak kecil lagi dan melihat ia sebagai satu ruang untuk ketenangan dari kerja harian.

“Saya sebagai ahli perniagaan kadang kala dibebani dengan banyak kerja jadi perlu mencari ruang untuk relaks.

“Semasa saya kecil, saya memang suka main permainan video seperti Micro Genius dan Counter Strike. Sehingga hari ini, saya akan main permainan video jika saya mempunyai masa lapang dari bekerja.

Bossned juga berkata keputusannya untuk menceburi bidang e-sukan juga adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk pergi lebih jauh dalam industri ini.

“Saya menyifatkan ketika itu, jika mereka menyertai skuad saya boleh beri kelebihan untuk mendedahkan bakat mereka.

“Saya berharap kami boleh pergi ke peringkat yang lebih tinggi dan sentiasa merendah diri.

“Pada masa akan datang, sudah pastinya saya mahu melihat NED Esports untuk beraksi di PMCO,”katanya.

Bossned dilihat sangat komited terhadap pasukan e-sukannya dan jika mempunya kesempatan, dia mahu turun ke setiap kejohanan yang diadakan untuk memberi sokongan.

Bagi anda yang mahu memberi sokongan kepada NED Esports atau NED Brotherhood, boleh tonton PMPL MY/SG di Facebook PUBG Mobile jam 3 petang setiap hari kecuali Isnin.

NED Brotherhood berada dalam kumpulan A, bersama Bigetron Malaysia, Team Secret MY, Traitor Esports, DivinityEsport, TARA Proyecto X, Tone WoW Esport, dan Miss Rose Esports Syndicate.

PMPL MY/SG 2020 merupakan kejohanan rasmi PUBG Mobile bagi kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

Juara bagi PMPL akan dinobat sebagai pasukan PUBG Mobile yang terbaik di Malaysia dan Singapura. Juara juga bakal mendapat tempat ke Liga Dunia di slot Blok Timur.

Sementara itu 3 pasukan teratas PMPL ini akan bertanding di Final Asia Tenggara PMPL 2020.

Kejohanan liga ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM621,000 secara keseluruhan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved