Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: Berhenti pertikai kemenangan Yoodo Gank, hentikan spekulasi – OnTheGo

Published

on

Pengurus Team Secret Malaysia, On The Go (gambar kecil) berkata, pemain-pemain Yoodo Gank tidak bersalah dalam isu ini. - Foto Facebook / PUBG Mobile / OnTheGo Productions

KUALA LUMPUR – Pengurus skuad PUBG Mobile Team Secret Malaysia Parthiban Petchayappen (OnTheGo) memohon orang ramai untuk tidak terus mempertikaikan kemenangan pasukan Yoodo Gank yang mendapat Anugerah Pasukan Terbaik (MVP) pada minggu pertama Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG).

OnTheGo berkata Yoodo Gank layak memenangi anugerah itu kerana prestasi mereka yang lebih baik selepas dinilai penganjur secara keseluruhan sama ada di dalam atau di luar permainan.

Jelasnya, keputusan penganjur, IO Esports adalah berdasarkan fakta dan merangkumi semua aspek yang perlu diteliti.

“IO Esports merupakan penganjur terbaik dalam negara. Mereka buat keputusan yang arif dan kami dari Team Secret 100 peratus menghormati keputusan itu.

“Bagi mereka yang mempertikaikan kemenangan Yoodo, hentikanlah. Mereka tidak bersalah dalam isu ini dan kesemua pemain Yoodo Gank adalah baik. 

“Penyokong Team Secret tolong berhenti mencemuh mereka,” kata OnTheGo dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi.

PMPL: Yoodo Gank sebagai Team MVP? Ini sebabnya

OnTheGo berkata demikian sebagai satu reaksi kepada kekecohan yang berlaku dalam kalangan peminat yang mempersoalkan pemilihan Yoodo Gank sebagai meraih Pasukan Terbaik MVP pada minggu pertama.

Pada minggu pertama PMPL MY/SG pasukan Yoodo Gank berada di ranking ketiga untuk jumlah pengumpulan markah sebanyak 320 mata manakala Team Secret berada di ranking pertama ketika ini dengan kutipan 379 mata.

Namun begitu, Pengurus Projek bagi PMPL MY/SG Scott Ng sebelum ini berkata pemilihan Yoodo Gank sebagai Pasukan MVP adalah selepas mengambil kira beberapa faktor secara keseluruhan. 

“Pemilihan diundi oleh semua staf yang terlibat dalam kejohanan ini yang melibatkan kerjasama, kreativiti dan mutu persembahan sesebuah pasukan,” katanya ringkas kepada What’s The Meta Today.

Pada minggu lalu, Yooodo Gank telah  merekodkan jumlah kemusnahan sebanyak 26,482 mata, 134 mata bunuh, 9897 mata penyembuhan, 43 mata menyelamat, tempoh masa bertahan selama 41 jam dan 26 minit serta meraih Chicken Dinner sebanyak 4 kali.  

Menerusi rekod itu, ia menjadikan markah pencapaian terkumpul Yoodo Gank adalah sebanyak 67 mata pada minggu itu.

Selain itu, OnTheGo turut menyeru orang ramai untuk menghentikan spekulasi berkaitan punca kekalahan Team Secret untuk tidak memenangi Anugerah MVP adalah berikutan Muhammad Dhiya Ulhaq (uHigh) meminum air kotak minuman coklat malt jenama Milo ketika penstriman langsung PMPL MY/SG dijalankan.

“Jangan salahkan uHigh. Milo dan Team Secret memang tiada kena mengena. Ini acara pertama kompetitif uHigh. Dia merupakan pemain yang sangat baik dan berkualiti.

“Pencapaian uHigh adalah pencapaian anda juga. Setiap hari, dia bertukus lumus untuk memberikan persembahan terbaik kepada anda.

“Meski dia tidak mengekspresikannya, namun setiap kata-kata semangat anda adalah bekalan tenaga untuk budak ini,” kata OnTheGo.

Pada minggu lalu uHigh turut dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik (MVP) pada minggu pertama dengan rekod pencapaian secara keseluruhan 87.7 mata.

Lantaran itu, OnTheGo juga menyeru peminat untuk tidak memperkecilkan pasukan-pasukan PMPL yang lain.

OnTheGo berkata setiap pasukan melalui pelbagai kesukaran tersendiri dan berkerja keras untuk berada di PMPL.

“Kalau ada mana-mana penyokong Team Secret yang terlepas cakap dan melukai hati orang yang lain, saya seikhlas hati memohon maaf bagi pihak mereka.

“Team Secret Malaysia tidak bercakap apa-apa mengenai perkara ini kerana Yoodo Gank memang layak untuk menang Anugerah MVP Pasukan dan tidak perlu dipertikaikan. 

“Kami akan cuba sebaik mungkin minggu ini dan minggu hadapan serta mensasarkan objektif utama, untuk ke peringkat seterusnya,” tambahnya.

Berbaki lagi dua minggu, liga utama Malaysia dan Singapura itu kembali berlangsung pada hari ini pada jam 3 petang di Facebook PUBG Mobile.

PMPL MY/SG merupakan kejohanan rasmi PUBG Mobile bagi kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

Juara bagi PMPL akan dinobat sebagai pasukan PUBG Mobile yang terbaik di Malaysia dan Singapura. Juara juga bakal mendapat tempat ke Liga Dunia di slot Blok Timur.

Sementara itu 3 pasukan teratas PMPL ini akan bertanding di Final Asia Tenggara PMPL 2020.

Kejohanan liga ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM621,000 secara keseluruhan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved