PUBG Mobile
Belasungkawa: Hasrat Agus tercapai

KUALA LUMPUR – Allahyarham Agusalim Amran (Agus) pernah berhasrat untuk Ustaz Khailil Razak (Ustaz Tido) memimpin bacaan Yassin baginya.
Menurut rakan (Agus), Nur Izzati, hasrat Agus itu pernah diluahkan sebelum dia dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor beberapa hari yang lalu.
“Sebenarnya Agus berharap Ustaz Tido dapat mengetuai bacaan Yassin yang kami adakan pada Rabu lalu.
“Jadi dengan kesempatan ini, saya nak berterima kasih.
“Alhamdulilah, hari ini kami berjaya mendapatkan Ustaz Tido,” kata Nur Izzati selepas tamat Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin untuk Allayarham Agus pada malam tadi.
Majlis itu diusahakan tanpa dirancang bersama penghibur penstriman langsung Fattah Zie, pendakwah bebas Ustaz Tido dan Kelab Penyokong Hahagus (Hahagus Supporters).
https://www.facebook.com/ustaztido/videos/561065828361781/
Allahyarham Agus menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor pada jam 8.56 malam tadi setelah bertarung nyawa dengan Covid-19.
Allahyarham Agus merupakan jurulatih bagi skuad PUBG Mobile popular tanah air, SEM9.Gank.
Hasil bimbingan Allahyarham Agus, Malaysia berjaya memenangi Kejohanan Final Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) buat kali pertama pada 2020 bersama pasukannya yang sebelum ini dikenali Yoodo Gank.
Sebelum bergelar sebagai seorang jurulatih, Allahyarham Agus merupakan seorang pemain kompetitif PUBG.