Connect with us

PUBG Mobile

Aura TNR kembali, Whales Esports mahu lebih agresif

Published

on

PADA musim kedua yang lalu, pasukan PUBG Mobile tempatan Team No Recoil (TNR) kekurangan 16 mata untuk melayakkan diri ke Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final).

Tampil dengan organisasi baru pada tahun ini yang dikenali sebagai Whales Esports, pasukan itu dilihat semakin mendapat rentak dalam Super Weekend 2 Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura Musim Ketiga (PMPL MYSG S3) selepas meraih 2 Chicken Dinner dalam satu hari.

Pemain profesional Whales Esports, Tee Yeu Terng (Insomnus) berkata selepas beberapa kali strategi tidak menjadi selama dua minggu, pasukannya membuat keputusan untuk bermain dengan cara TNR sebelum ini.

“Bila strategi tidak menjadi, kami melihat semula kesilapan kami.

“Kami berbincang antara satu sama lain dan semua sepakat yang kami harus kembali dengan cara TNR,” kata Insomnus dalam satu temu bual PMPL pada minggu lalu.

TNR sebelum ini terkenal dengan corak permainan agresif yang bersistematik.

Berada di ranking keenam ketika ini, Whales Esports mempunyai 189 mata, iaitu 3 mata sahaja kurang dengan juara PMPL S2, Team Secret yang berada di ranking kelima Super Weekend.

Pengulas e-sukan tanah air, Fawwaz Sehaimi (Soultannn) juga berkata setiap pasukan yang bertanding dalam PMPL perlu mengetahui dan memberi tumpuan kepada kelebihan masing-masing.

“Contohnya, Whales Esports yang kini tampak lebih meyakinkan corak permainannya selepas memilih untuk terus agresif.

“Walaupun mereka agresif, tapi bersistematik. Mereka memberi tumpuan kepada mata bunuh. Andai kata cara mereka tidak jadi, mereka boleh lakukannya semula.

“Kalau bermain secara pasif, itu yang menyebabkan Whales Esports gagal untuk bersinar dalam beberapa hari sebelum ini dalam PMPL,”kata Soultannn sebelum mengakhiri rancangan PMPL MYSG S3 pada Ahad lalu.

Sementara itu rakan sepasukan Insomnus, Neo Sau Puey (XinB) juga menyifatkan pasukannya lebih bersedia untuk minggu terakhir liga PMPL MYSG S3.

“Kami akan kembali dengan cara lama kami iaitu cara TNR. Bersedia untuk berbalas peluru,” kata XinB.

Selain XinB dan Insomnus, TNR juga terdiri pemain-pemain yang berpengalaman seperti Kuang Jian Sew (Stewart9k), Loo Tze You (Looyou) dan Koh Wen Hong (Snap).

Minggu terakhir PMPL S3 akan bermula petang nanti, bagi peringkat Weekday 3.

Mampukah Whales Esports melakar satu lagi sejarah baru untuk pasukannya?

Tonton saingan 20 pasukan terbaik PUBG Mobile Malaysia dan Singapura pada jam 5.00 petang nanti di Facebook dan YouTube PUBG Mobile.

PMPL MYSG S3 yang telah bermula pada 24 Mac lalu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM610,000 (AS$150,000).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved