Connect with us

PUBG Mobile

Apa pandangan CEO Team Secret mengenai komuniti e-sukan di Malaysia?

Published

on

Maxis telah menjadi penaja Malaysia pertama untuk pasukan PUBG Mobile Team Secret, yang mana semua ahli pasukannya berasal dari Malaysia, untuk membantu memperkembangkan e-sukan di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sambutan komuniti e-sukan di Malaysia memang sangat memberangsangkan dan pasukan terkemuka dunia, Team Secret berhasrat untuk menjadi sebahagian daripadanya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) John Yao.

John berkata, semangat komuniti e-sukan di Malaysia itu memang dapat dirasakan ketika beliau dan pasukannya menyertai kejohanan Dota 2 KL Major pada tahun lalu.

“Komuniti e-sukan di Malaysia memang antara yang paling bersemangat dalam dunia ini!

“Kami mahu menjadi sebahagian daripadanya dan kami mahu berada di sini.

“Itu sebab kenapa kami begitu teruja untuk melakukan perkara ini (kolabrasi Team Secret dengan Maxis),”katanya kepada What’s The Meta selepas menghadiri acara majlis pelancaran kolaborasi syarikat telekomunikasi Maxis dan Team Secret di Battle Arena Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya hari ini.

Menerusi kerjasama itu melihatkan Maxis telah menjadi penaja Malaysia pertama untuk pasukan PUBG Mobile Team Secret, yang mana semua ahli pasukannya berasal dari Malaysia, untuk membantu memperkembangkan e-sukan di Malaysia.

Sementara itu, John berkata pasaran e-sukan di Malaysia mempunyai potensi yang hebat dan beliau teruja untuk mengetengahkan Malaysia sebagai pasaran pertama di Asia Tenggara. 

“Negara ini mempunyai tenaga dan semangat yang sungguh luar biasa, dan ia juga mewakili salah satu komuniti peminat Team Secret yang terkuat di dunia. 

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Maxis dan kami berharap untuk membangunkan PUBG Mobile Team Secret bersama-sama, seterusnya berusaha mencapai matlamat untuk memupuk budaya positif iaitu kunci utama kejayaan dalam eSukan yang berasaskan pasukan,” tambahnya.

Jelas John lagi, Team Secret berusaha untuk menyatukan pemain terbaik untuk bersaing di peringkat terbesar di dunia dan menawarkan pengalaman yang paling menghiburkan untuk peminat eSukan.

Pasukan PUBG Mobile Team Secret merupakan satu-satunya pasukan Malaysia yang layak ke Kejohanan Global Spring Terbuka (PMCO) 2019 di Berlin, Jerman. 

Mereka terdiri daripada BiuBiu, Stewark9k, SinB Neo dan Alex.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved