Connect with us

PUBG Mobile

Agus pernah kerja kutip strawberi di Australia sebelum jadi streamer

Published

on

Agus berkata keputusannya untuk bekerja di luar negara adalah bagi meningkatkan sumber pendapatannya ketika itu. - Foto YouTube / Waddup Boss

PENGHIBUR penstriman langsung popular tanah air, Dwi Agus Rian Supardi (Agus) mengakui sebelum ini pernah bekerja sebagai pengutip buah strawberi di Australia pada lima tahun dahulu.

Agus berkata keputusannya untuk bekerja di luar negara adalah bagi meningkatkan sumber pendapatannya ketika itu.

“Saya tekad untuk ke sana kerana gaji saya di Malaysia pada ketika itu hanya RM1,000 walaupun bekerja selama 12 jam.

“Apabila berada di Australia, saya ingat bekerja dengan hanya memetik buah itu senang. Tapi rupanya, bekerja di sana memang memenatkan dan memeritkan.

“Jika mahu memetik strawberi, pekerja perlu mengetahui perkara seperti berjalan itik kerana pokok buah itu rendah. Selepas setengah tahun, saya pulang semula ke Malaysia. Saya bersyukur boleh balik,” katanya.

Agus berkata demikian dalam satu video temu bual Waddup Boss di YouTube bersama duta Team Bosskurr, Fiera Fendi.

Video yang dimuat naik pada 27 Mac itu mendapat lebih 93,000 tontonan setakat artikel ini ditulis.

Dalam video itu, Agus menceritakan perjalanan hidupnya sebelum menjadi seorang pemain kompetitif e-sukan dan penghibur penstriman langsung.

Agus merupakan antara penghibur penstriman langsung popular di Malaysia dengan lebih 351,000 pengikut di laman Facebook Agus Rianzz Livestream.

Sebelum bergelar sebagai penghibur penstriman langsung, dia merupakan pemain profesional PUBG Mobile dan pernah menyertai Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara Musim Bunga 2019 di Shanghai, China.

Menurut Agus, ketika ini dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada penglibatannya dalam dunia penstriman langsung.

“Apabila kita fokus kepada sesuatu perkara, saya pasti kita akan berjaya. Saya mahu menjadi streamer paling OP,” kata Agus.

Selain itu, Agus juga berkata dia akan membantu ibunya yang berniaga di Medan Selera Perindu Senai, Johor jika dia berkesempatan pulang ke kampung halamannya.

Jelasnya, rezeki yang diperolehnya sekarang adalah juga kerana keberkatan dari doa ibunya.

“Ada satu ketika saya mempunyai salah faham dengan ibu saya kerana saya kerap bermain game. Saya menjelaskan kepada ibu saya, kenapa saya main game.

“Saya meminta restu ibu saya untuk mendoakan apa yang saya buat, apa yang saya minat. Saya cakap, mana tahu, mungkin dengan bermain game ini boleh menjadi sumber rezeki.

“Alhamdulillah, selepas sebulan berlaku insiden itu, saya ditawarkan kontrak melakukan penstriman langsung bersama Facebook Gaming,” kata Agus.

Tonton temu bual penuh Agus di YouTube Waddup Boss.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved