PUBG Mobile
#RoadtoSEAFinal: Adakah penukaran lokasi mendarat mampu menghadiahkan slot SEA Final?
TINGGAL beberapa jam lagi untuk peringkat akhir Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua 2002 untuk bermula, siapakah yang bakal melayakkan diri ke Liga Kejohanan PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) nanti?
Sememangnya pemilihan lokasi mendarat yang padan dengan cara permainan sesebuah pasukan itu merupakan kunci penukaran posisi (rotasi) yang cekap.
Berikut merupakan ramalan WTM Today mengenai lokasi mendarat pasukan-pasukan PMPL MYSG bagi empat peta yang akan dipertandingkan dalam 18 pusingan peringkat akhir nanti:
Erangel

Peta Erangel yang bakal berlangsung sebanyak dua kali sehari bagi peringkat akhir ini sememangnya akan memaparkan aksi-aksi menarik nanti terutamanya dengan dominasiTeam Secret MY yang berjaya mengumpul bilangan Chicken Dinner terbanyak di Erangel pada peringkat liga.
Team Secret MY berjaya mengumpul empat Chicken Dinner di Erangel secara total.
Antara perubahan lokasi mendarat yang boleh terjadi adalah penukaran pasukan Marlino Esports ke daerah Yasnaya Polyana dari perkarangan Stalber dan Kameshki sebagai tempat pertaruhan.
Hal ini adalah kerana pasukan 8GMT dan Flash Vision Esports yang sebelum ini memegang daerah Yasnaya gagal melayakkan diri ke peringkat akhir apabila berada di luar kelompok 16 pasukan terbaik.
Perubahan lain yang mungkin bakal terjadi merupakan perpindahan pasukan Geek Fam yang memilih untuk mendarat di bahagian tengah peta dan mencari barang keperluan di rumah-rumah kecil di situ.
Pemilihan itu mampu dilihat dalam latihan dan perlawanan persahabatan PMPL MYSG, ‘Scrim Saja Saja’ yang diadakan oleh Partibhan Petchayappen (OnTheGo) dan Maira Oh (Scrims with Maira) sebagai persiapan para pemain menjelang peringkat akhir PMPL MYSG nanti.
Namun pemilihan Geek Fam di tengah peta masih menjadi tanda tanya sama ada merupakan percubaan penukaran strategi mahupun oleh sebab jalur pesawat yang kurang menyebelahi mereka untuk mendarat di tempat mendarat biasa mereka, Georgopool.
Miramar

Gelaran “Raja Miramar” dikongsi oleh dua pasukan berbeza, iaitu Axis Norlan MPX dan Team Secret MY.
Kedua-dua pasukan menunjukkan kepakaran menggunakan permukaan muka bumi Miramar sebagai kelebihan untuk mengumpul tiga Chicken Dinner.
Bagi peta Miramar, tiada perubahan ketara yang boleh dilihat dari segi lokasi mendarat pasukan namun tumpuan harus diberikan kepada jalur penukaran posisi (rotasi) pasukan-pasukan yang mungkin berubah rentetan perubahan strategi.
Sanhok

Peta terkecil ini tentunya akan memberikan aksi-aksi menarik sepanjang perlawanan, terutamanya dengan sistem mata terbaharu ini memaksa setiap pasukan untuk melakukan langkah-langkah agresif bagi mengoptimumkan mata bunuh yang boleh dikumpul.
Bagi peta Sanhok, pasukan J8 Esports yang diketuai pemain berpengalaman Khairunnazri Masli (Boyka) memegang gelaran “Raja Sanhok” apabila berjaya mengumpulkan empat Chicken Dinner dalam peta ini.
Vikendi

Bagi peta Vikendi pula, tumpuan harus diberikan ke daerah Podvosto yang mungkin bakal menjadi rebutan antara pasukan Team No Recoil dan Ezzy LX.
Hal ini berikutan, pasukan WeStar XPERT yang sebelum ini memegang kawasan Podvosto gagal mara ke peringkat akhir kejohanan ini.
Siapakah yang bakal mengoptimumkan lokasi mendarat mereka untuk menempah slot ke peringkat Asia Tenggara nanti?
Saksikan PMPL MY/SG Musim Kedua secara eksklusif di laman Facebook nanti.
Peringkat akhir Liga PMPL MYSG akan menawarkan dua slot ke peringkat Asia Tenggara.
PMPL MY/SG turut menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM628,000 (AS$150,000) secara keseluruhan.
