Mobile Legends
Sukan SEA: MLBB berjaya sumbang Perak walaupun ‘training chemistry’ kurang 10 hari

KURANG daripada 10 hari.
Itu tempoh yang diberikan kepada pemain-pemain profesional Mobile Legends tanah air dalam melakukan persiapan ke Temasya Sukan SEA Phonm Penh Kemboja 2023.
Menurut jurulatih negara, Khairul Azman, (Pabz) pihaknya melakukan latihan secara atas talian pada 2 Mei, namun setiap pemain dan barisan jurulatih mula berkumpul pada 4 Mei.
“Sebenarnya tidak sampai 10 hari pun.
“Kami berkumpul 4 Mei, kemudian 9 Mei adalah hari terakhir latihan kami.
“10 Mei kami sudah ke Kemboja,” jelas Pabz ketika dihubungi WTMToday hari ini.
Tambahnya lagi, tumpuan utama latihan adalah ke arah mencapai persefahaman berbanding perbincangan strategi atau corak permainan.
Sebelum ini, sesi latihan Temasya Sukan SEA terpaksa disingkatkan berikutan penglibatan pemain-pemain dalam Liga Profesional Mobile Legends Malaysia Musim ke-11 2023 yang berlangsung selama enam minggu.
Bagaimana pun, skuad Mobile Legends Harimau Malaya telah memenangi pingat perak selepas berjaya mara ke Grand Final Temasya Sukan SEA Phonm Penh Kemboja 2023 menentang Filipina.
Meski tewas 0-3, Malaysia telah mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke Grand Final peringkat kejohanan antarabangsa untuk pertama kali dan mencapai kemenangan pingat perak untuk acara Mobile Legends.
Skuad Malaysia juga menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat kumpulan apabila menyapu bersih kesemua kemenangan 1-0 menentang Filipina, Timor Leste, Laos dan Vietnam.
Atlet-atlet Malaysia di Sukan SEA Phonm Penh Kemboja 2023 terdiri daripada:
IDREEN ABDUL JAMAL – Momo
MOHAMAD ZUL HISHAM MOHD NOOR – Xorn
MOHAMMAD IRWANDY LIM – Izanami
MUHAMMAD ARIF ABDUL HALIM – RIPPO
MUHAMMAD DANIAL MOHAMAD FUAD – CikuGais
MUHAMMAD NAZHAN MOHD NOR – Chibii.
MUHAMMAD SYAFIZAN NAJMI – Garyy