Connect with us

Mobile Legends

Scott rindu ‘line up’ Sukan SEA, percaya boleh pergi jauh

Published

on

Scott bersama Logan ketika melakukan persiapan untuk menghadapi Temasya Sukan SEA Manila pada Disember lalu. - Foto What's The Meta /MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Pemain kompetitif bagi organisasi e-sukan popular tanah air, Team Bosskur, Hazeem Onn (Scott) mengakui merindui untuk bersaing dengan rakan-rakan seperjuangan yang bertanding di Temasya Sukan SEA yang lalu.

Scott yang kini masih mencari skuad untuk bersaing dalam Liga Profesional (MPL) Malaysia dan Singapura Musim Kelima berkata pasukan tersebut mempunyai potensi besar jika diberi peluang dan tempoh yang lebih lama untuk bersama.

“Kadang-kadang saya merindui skuad Sukan SEA. Kami telah berikan yang terbaik dalam masa 10 hari dan jika diberi masa yang lebih, saya pasti kami boleh raih lebih baik dari pingat gangsa.

“Saya perlu minta maaf kepada peminat kerana saya diberikan masa yang suntuk bersama pasukan itu kerana perlu memberi komitmen kepada Axis Esports selama sebulan.

“Skuad Sukan SEA ketika itu penuh dengan tenaga dan keazaman yang tinggi sehingga membuatkan saya sayang dengan pasukan itu,” kata Scott kepada What’s The Meta Today.

Menurut Scott, rancangannya ketika ini adalah untuk menubuhkan satu pasukan yang seakan skuad Mobile Legends Sukan SEA sebelum ini.

Barisan pemain Mobile Legends yang menyertai Sukan SEA 2019 yang dimaksudkan adalah:

  • Ahmad Ali Huzaifi Abdullah (Leixia)
  • Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan)
  • Izme Haqeem Hamsjid (Kaizer)
  • Muhammad Hazeem Onn (Scott)
  • Jamil Nurolla (Zaraki)
  • Mohd Faris Zakaria (Soloz)

“Mungkin tiada peluang pada musim MPL kali ini, saya akan tunggu pada musim yang seterusnya,” kata Scott.

Scott turut menjawab persoalan sama ada dia bersama Geek Fam atau tidak. Scott berkata: “Ya, saya ada menjalani satu sesi percubaan bersama Geek Fam sebelum ini.

“Tapi ia tidak menjadi. Saya menghormati keputusan Geek Fam dan mendoakan agar pemain-pemain tersebut dapat melakukan yang terbaik dalam musim kelima ini.”

Scott juga berkata ketika ini dia terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan khidmatnya sama ada sebagai pemain, jurulatih atau penganalisis bagi sesebuah pasukan Mobile Legends.

Scott merupakan antara pemain muda tanah air berbakat besar. Dia yang memegang posisi tank dan support pernah berada ranking pertama dunia bagi penggunaan hero Xborg dan Minsittar.

Scott juga pernah menjadi pemain nombor Malaysia 1 bagi hero Franco dan Diggie.

Scott turut mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi Temasya Sukan SEA 2019 dan Kejohanan Dunia M1.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved