PUBG Mobile
RoadtoSEAFinal: Dingoz MZ naik 3 anak tangga dengan formasi 2-2

KUALA LUMPUR – Tindakan bijak Dingoz MZ dalam melakukan formasi pembahagian pemain 2-2 sememangnya membuahkan hasil kemenangan Chicken Dinner dalam pusingan ke-13 Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua.
Dalam pusingan yang berlangsung di Sanhok itu, Dingoz MZ meraih mata kemenangan di bahagian barat Tak Mok apabila mengalahkan pasukan Damansara Esports pada zon selamat peringkat akhir.
Dingoz MZ yang mempunyai beberapa kelebihan seperti jumlah pemain lebih banyak dan penguasaan zon selamat memilih untuk kekal tenang di bahagian bukit Tat Mok.

Dingoz MZ membahagikan empat pemain itu kepada dua pasangan iaitu Norazizi Kamal (Ajiji) bersama Thanuk A/l Pri Cha di bahagian utara dan Muhammad Nur Ihsan Ismail (San) dan Lokman Hakim Abdul Saddar (Bravo) di bahagian selatan untuk mengepung Damanasara Esports yang terperangkap dalam sebuah rumah.
Strategi Dingoz MZ yang dilihat mahu mendapatkan informasi kedudukan Damansara Esports yang lebih luas itu sememangnya berkesan apabila pasukan itu membunuh baki pemain Damansara Esports, sekali gus meraih 26 mata dalam pusingan itu.
Dingoz MZ juga memperbaiki kedudukan dengan naik tiga anak tangga, menjadikan pasukan itu berada di tangga ketujuh dalam Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua.
Berbaki lagi lima pusingan, Dingoz MZ yang mempunyai 100 mata secara keseluruhan perlu mendapatkan kedudukan di tempat ketiga grand final untuk melayakkan diri ke Grand Final PMPL Asia Tenggara (SEA Final).
Setakat ini dua pasukan Malaysia telah disahkan akan ke SEA Final 2020 iaitu Yoodo Gank selaku juara musim pertama dan Team Secret MY yang memenangi peringkat liga PMPL MYSG pada minggu lalu.
Pemain Dingoz MZ, San berkata apa juga keputusan dalam grand final nanti dia terima dengan hati yang terbuka namun sasaran ke SEA Final masih menjadi keutamaan pasukan itu.
“Grand final mempunyai tekanan yang tersendiri. Kami memilih untuk pandang ke depan dengan memperbaiki masalah yang dilkaukan sebelum ini.
“Apa-apa keputusan kami terima tapi kami akan cuba juga unutk mendapakan slot ke SEA Final,” kata San dalam satu temu bual bersama hos PMPL, Andrew Cheong (Sir Cloud) selepas meraih Chicken Dinner itu.
Sementara itu, pasukan SMG dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara ke SEA Final selepas tidak berganjak dari tempat pertama dengan kutipan 166 mata ketika ini.

Berikut adalah kutipan Chicken Dinner Grand Final setakat ini:
Pusingan 1 – Miramar – Yoodo Gank
Pusingan 2 – Erangel – Team SMG
Pusingan 3 – Vikendi – Team Secret MY
Pusingan 4 – Sanhok – Team SMG
Pusingan 5 – Erangel – Yoodo Gank
Pusingan 6 – Miramar – Team Secret MY
Pusingan 7 – Vikendi – Ezzy LX
Pusingan 8 – Miramar – Yoodo Gank
Pusingan 9 – Erangel – Team No Recoil
Pusingan 10 – Sanhok – Marlino
Pusingan 11 – Miramar – Team SMG
Pusingan 12 – Erangel – Team Bosskurr
Pusingan 13 – Sanhok – Dingoz MZ
Tonton aksi-aksi pasukan PUBG Mobile terbaik Malaysia di Grand Final PMPL MYSG di Facebook PUBG Mobile sekarang.