Connect with us

PUBG Mobile

Dah dapat slot pun Yoodo Gank, Team Secret nak terus dominasi

Published

on

KUALA LUMPUR – Dua gergasi PUBG Mobile Malaysia, Yoodo Gank dan Team Secret MY mendominasi ranking hari pertama Grand Final Liga Profesional Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua dengan masing-masing berjaya mengutip dua Chicken Dinner.

The One and Onleh Yoodo Gank yang membuka tirai dengan penuh bergaya di peta Miramar berada di tangga pertama ranking Grand Final ketika ini dengan kutipan 93 mata secara keseluruhan termasuk 41 mata bunuh.

Manakala Team Secret MY yang berada di tangga kedua mengutip 89 mata termasuk 46 mata bunuh.

Kedua-dua pasukan itu juga menunjukkan mutu persembahan yang menarik dan mantap terutama pada pusingan keenam Grand Final yang berlangsung di Miramar.

Dalam pusingan itu, Yoodo Gank dan Team Secret MY membuktikan kedua-dua pasukan itu mempunyai reputasi tersendiri dengan menunjukkan pertarungan yang sangat matang dan tidak tergopoh.

Sememangnya ia satu pertarungan El Classico PMPL MYSG yang memukau penonton kerana kedua-dua pasukan itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Sebagai contoh, pada zon selamat terakhir di Miramar itu berlangsung lebih 1 minit 30 saat bagi kedua-dua pasukan itu berlawan untuk mendapatkan Chicken Dinner.

Pertembungan itu menyaksikan aksi yang luar biasa dari Terminator Terbaik Asia Tenggara, Azim Ikromi (Draxx) dan Terminator Terbaik Liga PMPL MYSG, Dhiya Mohd Arasz (uHigh).

Namun percaturan uHigh untuk melakukan lompatan sambil melepaskan tembakan membuahkan hasil apabila ia mengena Draxx.

Sementara itu, tidak jauh di berada di belakang Team Secret MY dalam ranking adalah Team SMG yang turut mengutip dua Chicken Dinner hari ini di Erangel dan Sanhok.

Team SMG mempunyai 85 mata ketika ini, hanya lima mata ketinggalan di belakang Team Secret MY.

Tumpuan akan diberikan kepada penyandang tempat ketiga dan keempat Grand Final PMPL MYSG jika Yoodo Gank dan Team Secret MY terus mendominasi pada esok dan lusa.

Ia berikutan hanya dua slot diberikan kepada liga tersebut untuk mewakili Malaysia ke peringkat Asia Tenggara, iaitu Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) Musim Kedua.

Setakat ini dua pasukan Malaysia telah disahkan akan ke SEA Final 2020 iaitu Yoodo Gank selaku juara musim pertama dan Team Secret MY yang memenangi peringkat liga PMPL MYSG pada minggu lalu.

Grand Final PMPL MYSG akan berlangsung sehingga Ahad ini dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM625,000 secara keseluruhan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved