PUBG Mobile
Pochinki bukan lagi kandang RRQ, ini lokasi darat baharu pasukan PMPL Thai
SANG Raja Pochinki dijangka berundur diri, memberi takhtanya kepada pasukan lain dalam saingan Liga Profesional PUBG Mobile Thailand Musim Ketiga (PMPL Thai S3) 2021 nanti.
Tampil dengan barisan pemain baharu, pasukan profesional PUBG Mobile Thailand Rex Regum Qeon (RRQ) melakukan perubahan besar dari segi strategi dan corak permainan apabila membuat keputusan untuk berundur dari lokasi mendarat pilihan, Pochinki dalam latihan perlawanan persahabatan (scrim) baru-baru ini.
Pasukan gergasi Thailand itu sebelum ini amat sinonim dengan gelaran “Raja Pochinki”.
Gelaran tersebut diberikan kepada mereka oleh para peminat PUBG Mobile Thailand kerana berjaya menawan kota Pochinki sebagai lokasi mendarat mereka sendiri.
Namun menerusi rombakan barisan pemain besar-besaran, organisasi yang sebelum ini berjaya mengangkat piala kemenangan kejohanan global PMSC, dilihat akan melepaskan lokasi mendaratnya kepada pasukan lain.

Berdasarkan pemerhatian WTM Today sepanjang latihan perlawanan persahabatan yang diadakan, pasukan RRQ kelihatan lebih selesa mendarat di kawasan Novorepnoye, yang berada di bahagian Tenggara peta Erangel.
Ironinya, dengan kekosongan kota Pochinki yang ditinggalkan oleh RRQ, pasukan Bacon Time yang terdiri daripada bekas pemain-pemain pasukan RRQ Athena mengambil kesempatan daripada kekosongan tersebut, sekaligus memutuskan untuk menggelarkan lokasi mendarat tersebut sebagai tempat mereka sendiri.
Pasukan Bacon Time yang menampilkan pemain-pemain berpengalaman seperti Wachirawit Ramangkool (Earnny), Pheeraphol Phumrat (Beer11), Bawonchai Han (D2E), Atsawayut Aueafueaphan (ICES) dan Navin Phrompitak (Senior) dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk layak ke peringkat Asia Tenggara.
Turut harus diberi tumpuan adalah lokasi mendarat pasukan Secret Jin yang dijangka bakal menampilkan aksi sulung dari pemain tanah air, Asyam Allam (Rex) dalam liga tersebut.
Rex dan Secret Jin diundi bersama pasukan-pasukan berpengalaman seperti Bacon Time dan Made in Thailand (MiTH) dalam kumpulan D.
Walaupun melakukan pertukaran pemain menjelang liga nanti, Secret Jin yang sebelum ini pernah melayakkan diri ke Kejohanan Final Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) dilihat tidak mempunyai sebarang perubahan besar dari segi lokasi mendarat jika dibandingkan dengan musim sebelumnya.
Bagi peta Erangel, Secret Jin akan mendarat di kota Lipovka manakala bagi peta Miramar, skuad Thailand itu akan mendarat di kawasan Impala.
Pada masa yang sama, bagi peta Sanhok, pasukan Secret Jin dilihat akan menerima kunjungan daripada pasukan Faze Clan untuk kawasan taklukan Bootcamp sebagai lokasi mendarat.
Berikut merupakan ramalan lokasi mendarat WTM Today bagi PMPL Thailand untuk peta Sanhok dan Miramar;
PMPL Thailand akan bermula secara rasminya pada 24 Mac nanti.
Anda boleh menyaksikan pertarungan 20 pasukan PUBG Mobile terbaik Thailand melalui laman Facebook dan Youtube.


