Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: OldBoy terlepas pengebumian ayahnya

Published

on

Foto: YouTube / NAVI, Instagram / Oldboy

MEWAKILI negara tanpa berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada insan tercinta.

Begitulah pengorbanan yang dilalui oleh seorang atlet e-sukan profesional, Dmytro Bui (Oldboy), selepas terpaksa terlepas pengebumian ayahnya kerana menyertai kejohanan e-sukan antarabangsa PUBG Mobile Global Championship (PMGC) yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemain Ukraine dari pasukan Natus Vincere (NaVi) itu berkongsikan dalam satu catatan Instagram peribadi bahawa dia tidak dapat hadir ke majlis pengebumian ayahnya yang akan diadakan pada hari ini yang bertembung dengan kejohanan PMGC yang disertainya.

Menurut Oldboy, mendiang ayahnya meninggal dunia atas komplikasi berkaitan penyakit COVID-19 kira-kira satu minggu lalu.

Walaupun terpaksa mengharungi detik sukar dan menumpukan fokus untuk kejohanan akan datang, Oldboy tidak segan untuk meluahkan perasaanya yang lama terpendam dalam satu posting ringkas.

“Kata-kata tidak mampu menggambarkan perasaan saya, namun saya bersyukur kerana diberikan tunjuk ajar dan haluan dalam kehidupan yang berliku ini.

“Ayah membesarkan saya untuk menjadi seorang anak dan seorang lelaki sejati.

“Semoga ayah tenang di sana,” luah Oldboy dalam satu posting rasmi melalui laman Instagramnya.

Oldboy merupakan seorang pemain profesional PUBG Mobile yang telah mengharumkan nama negaranya di peringkat antarabangsa dengan meraih beberapa gelaran Gunslinger dalam kejohanan yang disertai.

Dia yang dianggap pemain terbaik rantau Eropah, Oldboy kini telah memimpin pasukan barunya NaVi untuk meraih gelaran juara Liga Profesional EMEA sekaligus layak ke babak akhir PMGC.

OldBoy dan NaVi menamatkan saingan di tempat di tempat ke-13 secara keseluruhan bagi peringkat liga dengan melakukan kebangkitan selepas gagal untuk layak ke peringkat Super Weekend bagi dua minggu pertama.

Saksikan OldBoy dan Navi dalam final PMGC 2020, bermula jam 6.45 petang hari ini.

Tentunya misi meraih gelaran dunia PMGC yang bakal dikejar olehnya bukan sahaja untuk diri dan negara, namun juga bagi ayahnya.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved