PUBG Mobile
Perkhidmatan Dingoz MX dipinjamkan sehingga tamat PKP – FV Unbeatable Gaming

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pemain-pemain Dingoz MX hanya diperlukan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat kata pasukan FV Unbeatable Gaming.
Pasukan PUBG Mobile FV Unbeatable Gaming berkata perkhidmatan pemain-pemain Dingoz MX itu dipinjamkan untuk sementara waktu seperti yang dibenarkan penganjur.
“Selepas tempoh PKP tamat, barisan pemain akan kembali seperti biasa. Contohnya seperti hari ini, kami meletakkan semula Akiddo dalam permainan kerana isu internetnya telah diselesaikan,” katanya.
BACA: Akiddo ‘kembali’ bersama FV Unbeatable selepas isu internet
Sebelum ini dalam satu kenyataan pada Rabu, FV Unbeatable Gaming menjelaskan mengapa pihak mereka terpaksa melakukan beberapa pertukaran pemain.
Antara sebabnya adalah berikutan jaringan hubungan internet yang tidak stabil yang dihadapi pemain-pemainnya iaitu Ahfatt, Sleep dan Akiddo.
“Dalam perintah PKP, pihak pengurusan kami tidak mempunyai kuasa untuk meminta pemain pasukan kami pulang ke gaming house kerana ia akan melanggar peraturan PKP yang ditetapkan kerajaan.
“Maka kami hanya membuat dua penukaran pemain dan memutuskan untuk bermain secara tiga orang. Namun kami dibenarkan untuk mencari pemain ganti ketiga kerana budi bicara pihak penganjur yang memahami masalah yang dihadapi kami.
“Kesulitan timbul kerana penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh negara,” katanya pada Rabu.
Berikutan itu, FV Unbeatable dalam kenyataan pada Rabu itu juga memohon maaf kerana terlambat memberi penjelasan mengenai perubahan pemain itu sehingga membuat segelintir pihak kurang senang.
Sebelum ini, FV Unbeatable Gaming meminjam tiga pemain Dingoz MX iaitu Baman, 9nine dan Kid.
Namun hari ini Akiddo menggantikan Baman selepas masalah internet Akiddo menemui jalan penyelesaian.
Pada 25 Mac lalu, kerajaan memutuskan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu diambil berikutan trend semasa yang menunjukkan kes-kes positif COVID-19 baharu yang masih berlaku.
Lantaran itu, Perdana Menteri mengingatkan orang ramai untuk kekal berada di mana mereka berada sekarang.
“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.
“Anak-anak yang perlu balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi, tunggu dahulu. Pejabat yang ditutup, tak boleh dibuka sehingga sekarang.
“Jika ada urusan penting pada 2 atau 3 minggu akan datang, rancanglah dari sekarang, bagaimana mahu menguruskannya,” kata Perdana Menteri.
Beliau juga memaklum kepada orang ramai untuk kekal bertenang dan tidak panik walaupun PKP dilanjutkan.