PUBG Mobile
Akiddo ‘kembali’ bersama FV Unbeatable selepas isu internet
KUALA LUMPUR – Pemain profesional PUBG Mobile bagi skuad FV Unbeatable Gaming, Akid Iskandar, kembali beraksi dalam Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG).
Akid atau sedang dikenali sebagai Akiddo dalam satu kenyataan berkata peluang untuk beraksi kembali itu adalah berikutan pihaknya telah menemui jalan penyelesaian bagi masalah internet di rumahnya.
“Selepas saya mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu, ada kenalan yang menghubungi saya untuk menggunakan wifi di rumahnya.
“FV Ubeatable Gaming mengetahui perkara ini dan menghubungi saya kembali.
“Selepas perbincangan semula, kedua-dua pihak telah mendapat persetujuan bersama, iaitu dengan keputusan saya akan meneruskan bermain dalam PMPL MY/SG. Semoga dimurahkan rezeki kami hari ini dan teruskan memberi sokongan,” katanya hari ini.
Akiddo juga mengesahkan dia akan bersama FV Unbeatable Gaming sehingga tamat PMPL MY/SG.
Rabu lalu, Akiddo mengumumkan perjalanannya bersama FV Unbeatable Gaming telah menemui penamatnya.

Jelasnya, dia tidak boleh memberi komitmen untuk bermain dalam PMPL MY/SG yang kini dijalankan secara talian.
Akiddo berkata ia berikutan hubungan internet di kawasan rumahnya yang tidak stabil.
“Ia merupakan satu penghargaan untuk menjadi sebahagian dari pasukan itu. Mulai hari ini, saya akan berpisah dengan FV Unbeatable Gaming. Selamat maju jaya bagi bekas-bekas rakan sepasukan,” katanya sebelum ini.
Akiddo dan FV Unbeatable Gaming kini berada di tangga ke 15 PMPL MY/SG dengan 469 mata.
Mereka kini sedang berusaha untuk mendapatkan slot 16 pasukan teratas pada peringkat liga untuk mara ke Grand Final PMPL/MYSG.
Ketika ini sedang berlangsung hari ke-16 PMPL MY/SG.
Pada pusingan pertama di Miramar seketika tadi, Akiddo dan FV Unbeatable Gaming berada di tempat kedua dengan 15 mata. Sementara itu, Dingoz MZ yang mengutip 17 mata bunuh meraih Chicken Dinner dalam pusingan itu.


