Connect with us

COVID19

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April

Published

on

Foto: Facebook Live / Astro AWANI

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu diambil berikutan trend semasa yang menunjukkan  kes-kes positif COVID-19 baharu yang masih berlaku.

“Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan perintah kawalan kepada satu tempoh yang lebih lama.

“Saya memaklumkan perkara ini supaya saudara dan saudari lebih bersedia,” katanya dalam satu Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada tengah hari tadi.

Lantaran itu, Perdana Menteri mengingatkan orang ramai untuk kekal berada di mana mereka berada sekarang.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.

“Anak-anak yang perlu balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi, tunggu dahulu. Pejabat yang ditutup, tak boleh dibuka sehingga sekarang.

“Jika ada urusan penting pada 2 atau 3 minggu akan datang, rancanglah dari sekarang, bagaimana mahu menguruskannya,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga memaklum kepada orang ramai untuk kekal bertenang dan tidak panik walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan.

Jelasnya, keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk keselamatan rakyat.

“Saya tahu anda rasa terbeban, tapi saya tiada pilihan lain. Tempoh kuatkuasaan ini akan dikaji dari semasa ke semasa.

“Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan membuat pengumuman mengenainya.

“Yang penting, saya mohon saudara saudari bersedia untuk di duduk lebih lama di rumah,” kata Muhyiddin.

Beliau juga berkata kesemua kementerian telah diarahkan untuk menguruskan keperluan asas rakyat sepanjang tempoh kawalan pergerakan berkuat kuasa.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved