COVID19
COVID19: Pemilik Red Esports, Anne Raihan derma 1,000 topeng muka

KUALA LUMPUR – Pemilik organisasi e-sukan tanah air RED Esports, Anne Raihan akan mendermakan 1,000 topeng muka bagi mereka yang memerlukan ketika ini.
Anne berkata terdapat beberapa golongan yang akan diutamakan untuk menerima 1,000 topeng muka tersebut itu, iaitu:
- Golongan ibu mengandung
- Warga emas yang perlu berulang alik ke klinik dan hospital
- Golongan ibu tunggal
- Pekerja-pekerja yang perlu bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan
“Anda boleh terus menghantar pesanan peribadi di Instagram saya. InsyaAllah boleh dapat membantu sedikit sebanyak.
“Kita akan membantu mana-mana pihak untuk meringankan beban mereka,” kata Anne dalam satu catatan Instagramnya.
Anne merupakan satu nama yang tidak asing dalam dunia media sosial tanah air.
Selain menjadi pemilik organisasi Red Esports, dia cukup dikenali sebagai pengasas media Pen Merah dan butik pakaian Lima Waktu.
Anne juga pernah memenangi Anugerah Top Young CEO 2019.
Sementara itu bagi perkembangan terkini COVID-19 di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 14 kematian disebabkan COVID-19 dicatatkan di negara ini setakat hari ini.
Menurut KKM, sebanyak 212 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dan menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 1518 orang.
“57 daripada kes tersebut kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 27 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.
KKM turut menyatakan sebanyak 20 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang sehingga 23 Mac 2020.
Ini menjadikan 159 pesakit COVID-19 telah berjaya sembuh dan discaj hospital setakat ini.
