Mobile Legends
MPL: Tekak sedikit basah, tapi belum hilang dahaga

Pasukan Mobile Legends Bosskur Gaming (Bosskurr) boleh menarik nafas lega seketika apabila berjaya mengumpul mata penting dalam Liga Profesional (MPL) selepas mengalahkan Geek Fam 2-1 seketika tadi.
Menurut Bosskur, mereka perlu terus menajamkan lagi skil dan corak permainan bagi merebut slot ke pusingan penentu (playoff) nanti.
“Alhamdulillah. Mata penting bagi kami untuk meneruskan memberi cabaran kepada pasukan lain.
“Teruskan menyokong kami tanpa prejudis. Sokongan anda semua merupakan semangat perjuangan kami,” kata Bosskurr dalam satu kenyataan.
Bosskurr sebelum ini mengalami kekalahan lima pusingan berturut-turut sejak MPL musim ketiga bermula.
Mereka tewas kepada pasukan Singapura Bigetron SG 1-2, EVOS Esports SG, 0-2, Nara Esports 0-2, Resurgence 0-2 dan kepada juara MPL musim lalu Reborn 0-2.
Menerusi kemenangan terhadap Geek Fam itu dilihat menghilangkan sedikit ‘kehausan’ Bosskurr untuk memburu tempat pada pusingan penentu nanti.
MPL musim ketiga kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul melebih RM400,000 dan disertai enam pasukan Malaysia dan empat pasukan Singapura.