Connect with us

Mobile Legends

MPL: Selepas ‘hilang slot’ jemputan terus, Red Reborn berjaya mara ke liga, cabar Orange Esports siapa lagi layak

Published

on

Foto: RED Reborn

KUALA LUMPUR – Pasukan Mobile Legends tanah air, Red Reborn berjaya melayakkan diri ke peringkat musim Liga Profesional Malaysia dan Singapura (MPL MYSG) Musim Keenam selepas memenangi peringkat kelayakan semalam.

Red Reborn yang menggunakan nama Bella Ciao, menewaskan ICON Esport 2-0 pada peringkat semi final bagi mendapatkan slot ke MPL MYSG Musim Keenam.

Pemilik organisasi e-sukan tanah air RED Esports, yang menaja pasukan Reborn ketika ini, Anne Raihan berkata dia melahirkan rasa kesyukuran memandangkan pasukan itu terpaksa bermula dari bawah di peringkat kelayakan walaupun mendapat tempat ketiga pada MPL musim lalu.

“Alhamdulillah. Selepas tiga hari pusingan kelayakan, dengan penyertaan 500 pasukan seluruh Malaysia untuk merebutkan dua slot ke MPL, akhirnya Red Reborn sudah menebus kejayaan bergaya.

“Walaupun bermula dari bawah, tidak bermakna akan kalah,” kata Anne dalam satu catatan Facebook pada semalam.

Sementara itu, Moonton turut mendedahkan enam pasukan Mobile Legends Malaysia dan Singapura yang mendapat jemputan terus ke MPL MY/SG Musim Keenam pada semalam.

Pasukan-pasukan tersebut adalah:

  • Resurgence (Juara MPL MY/SG Musim Kelima)
  • Geek Fam (Naib Juara MPL MY/SG Musim Kelima)
  • EVOS SG (Tempat Keempat MPL MYSG)
  • Team Bosskurr (Tempat Kelima MPL MYSG)
  • Todak (Tempat Keenam MPL MYSG)
  • Orange Louvre Esports

Selepas memenangi pusingan kelayakan itu, Red Esports dalam satu post Insta Stories semalam berkata:”Jumpa anda, Orange Louvre Esports.”

Sebelum ini, Reborn dan Orange Esports berdepan dengan konflik apabila pasukan itu tidak mendapat slot jemputan terus meski meraih tempat ketiga pada MPL MY/SG Musim Kelima.

Menurut Reborn dalam satu kenyataan pada 18 Julai, Moonton telah menambah peraturan baharu pada musim kali ini mengenai kelayakan untuk mendapatkan slot jemputan.

“Jemputan melalui organisasi dan tidak lagi diberikan kepada pasukan. Organisasi juga boleh menghantar dan menukar semua pemain.

“Bagi kami, ini tidak adil memandangkan kontrak kami bersama Orange Esports hanya selama dua bulan sahaja iaitu pada 22 Februari sehingga 1 Mei 2020.

“Orang Esports hanya penaja kepada Reborn dan tidak memiliki Reborn,” katanya di Facebook pada minggu lalu.

Pada 9 Mei lalu, Orange Esports mengesahkan Reborn yang tidak lagi bersama mereka.

Reborn kemudiannya menyertai RED Esports pada 13 Mei.

Reborn masih mengekalkan barisan pemain utamanya iaitu:

  • Akmal Afi Uzair Daud – Silo (Kapten)
  • Adib Rusydi Ahmad Tarmizi – Mom
  • Syed Raziq Hakimi Syed Toko Khairuddin Cakbu
  • Muhammad Akmal Rozali – Mal
  • Muhammad Firdaus Bin Mohd Aniza -Eren
  • Muhammad Aiman Aliff Zulkefli – Grengo

Pasukan itu turut menerima khidmat pemain veteran Mobile Legends Mohd Farhan Kamari (Hawkeye) sebagai jurulatih.

Hawkeye sebelum ini merupakan bekas pemain Team Saiyan dan pernah bersaing di peringkat MPL pada musim pertama. Hawkeye juga pernah beraksi di kejohanan antarabangsa Piala Asia Tenggara (MSC) pada 2018.

Sebagai reaksi balas, Orange Esports turut memuat naik satu kenyataan di Facebook yang bersertakan gambar dipercayai melibatkan emel perbualannya dengan Moonton.

Menurut Moonton, salah satu sebab mengapa organisasi itu mendapat slot jemputan adalah kerana Orange Esports dilihat sebagai jenama utama ketika pemilihan untuk pemberian slot jemputan terus.

Wakil Moonton juga berkata Orange Esports juga merupakan salah satu jenama yang stabil dalam arena e-sukan Malaysia.

Manakala Reborn, Moonton melihat mereka sebagai pemain atau pasukan yang berpayung di bawah Orange Esports.

“Perkara ini telah dijelaskan jawatankuasa MPL dan eGG Network dalam perjanjian peserta,” kata wakil Moonton.

MPL Malaysia dan Singapura Musim Keenam merupakan liga utama untuk Mobile Legends bagi kedua-dua negara ini.

Liga ini merangkumi peringkat kelayakan dan Musim Liga yang berlangsung dalam talian, diikuti dengan acara secara langsung pusingan penentu di mana lapan pasukan terakhir akan bertempur untuk berkongsi hadiah terkumpul bernilai kira-kira RM410,000 (AS$100,000).

Ia akan bermula pada 28 Ogos nanti.

Berikut adalah pasukan-pasukan yang akan menyertai MPL MYSG Musim Keenam:

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved