Connect with us

Mobile Legends

MPL: Ciku minta untuk bermain hari ini, lawan EVOS SG

Published

on

PEMAIN terbaik minggu ketiga Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Musim Keenam, Muhammad Danial Mohamad Fuad (Ciku) memohon untuk bermain pada hari ini, kata Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, Radzi Rahman Ibrahim (Ikuto).

Ikuto berkata permohonan Ciku hanya dalam peringkat pertimbangan pengurusan Todak memandangkan kesihatan pemain itu menjadi keutamaan.

“Ciku memohon untuk bermain pada hari ini. Namun saya masih risau mengenai keadaan kesihatannya.

“Ciku mengalami asma yang agak kritikal pada minggu lalu.

“Berikutan insiden yang berlaku sebelum ini, saya telah melaksanakan beberapa peraturan-peraturan baru di kediaman pemain untuk elak perkara yang sama berlaku lagi,” kata Ikuto ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.

Pada minggu lalu, Ciku dikejarkan ke hospital kerana keadaan kesihatannya yang tidak baik.

Berikutan keadaan kesihatannya itu, difahamkan Ciku akan direhatkan untuk bermain menentang EVOS SG dalam perlawanan minggu ke-4 MPL pada jam 4.30 petang nanti.

Sementara itu, Ikuto juga menolak tomahan-tomahan warganet yang menyatakan keadaan Ciku itu disebabkan gaya hidup tidak sihat sebagai pemain Todak.

“Ramai yang menyatakan mereka asyik makan makanan segera dan tidak melakukan senaman. Saya menjamin kepada pada, mereka makan makanan sihat.

“Kami ada chef yang akan masak untuk pemain-pemain, jadual latihan dan jadual melakukan senaman.

“Selain itu, kami juga ada sesi personal individu sebanyak dua kali dalam sebulan,” tambah Ikuto.

Ikuto menyertai organisasi Todak pada awal bulan Ogos sebagai sebagai Pengurus Pembangunan E-Sukan.

Menurut Ikuto, peranannya tidak tertakluk untuk memastikan skuad Mobile Legends Todak sahaja berada di dalam kekuatan yang optimum.

Jelasnya, segala pengurusan mengenai skuad masih lagi dibawah pengurusan Mohd Syazlan Mohamad Rosdi (Ashi) dan jurulatih Nik Hafif Aiman Hazlan (Manity).

“Saya pula memantau pengurusan yang dilakukan dan membantu dalam membentuk struktur yang lebih baik,” katanya.

Perlawanan Todak menentang EVOS SG merupakan antara yang dinanti-nantikan apabila kedua-dua pasukan itu pernah bertemu pada Grand Final MPL Musim Keempat.

Tonton MPL secara langsung di Facebook Mobile Legends.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved