Connect with us

Mobile Legends

MPL: Bosskurr akui meta baru tidak menjadi

Published

on

Pasukan Mobile Legends tanah air Bosskur Gaming mengakui meta (strategi) yang digunakan sepanjang Liga Profesional Mobile Legends (MPL) berlangsung setakat ini memang tidak kukuh.

Pengurusnya, Nureddy Nursal berkata pihaknya mengakui memang terlalu banyak kesilapan dapat dilihat dalam perlawanan semalam.

“Semua pemain kami memang memberi komitmen namun apabila berada dalam permainan, ada beberapa perkara yang tidak konsisten termasuk sejak pemilihan hero lagi. 

“InsyaAllah kami akan perbaharui berdasarkan perlawanan-perlawanan sebelum ini. Bukan niat kami untuk mengecilkan hati peminat dan penyokong. 

“Rezeki kami belum sampai, jadi kami akan berusaha sampai jadi,” katanya kepada WTM Today semalam.

Jelasnya, Bosskur terbuka dan menerima semua kritikan dan kutukan yang diberikan kerana ia dilihat sebagai pemangkin semangat pasukan itu.

Menurut Nureddy lagi, bagi memperbaiki mutu persembahaan Bosskur pada masa akan datang, pembaharuan secara menyeluruh akan dilakukan oleh pasukan tersebut termasuk mencari penganalisis dan jurulatih.

“Memandangkan organisasi kami memang berdiri sendiri dari segi semua aspek, bukan senang untuk membina satu skuad yang betul-betul sistematik dari segi latihan mental dan sebagainya. 

“Tapi itu bukan alasan. 

“Pasukan kami baharu sahaja mendapat penganalisis permainan. Baru sahaja. Jadi kami akan memperbaharui corak permainan kami,” tambahnya.

Pada perlawanan semalam, Bosskur tewas kepada Nara Esports SG (Nara) 0-2.

Kedudukan Bosskur dalam liga ketika ini dilihat tidak memberangsangkan apabila mereka menghadapi tiga kekalahan berturut-turut setelah berdepan Bigetron SG 1-2 dan EVOS Esports SG 0-2 sebelum ini.

MPL musim ketiga kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul melebih RM400,000 dan disertai enam pasukan Malaysia dan empat pasukan Singapura.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved