PUBG Mobile
Kalau jumpa saya, tolong lari – Obot
KUALA LUMPUR – “Kalau jumpa saya, tolong lari.”
Itu amaran ringkas daripada pemain profesional PUBG Mobile, Zulfikar Kene (Obot) kepada pihak lawan lain yang menyertai Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG S3).
Obot juga menasihati pasukan-pasukan yang lain tidak berlawan dengannya jika terserempak dalam permainan nanti.
“Kalau jumpa Homebois dalam pusingan yang saya akan bermain nanti, tolong lari. Jangan lawan,” kata Obot sambil tertawa.
Dia berkata demikian dalam satu temu bual PMPL MYSG S3, selepas pasukannya memenangi Chicken Dinner pusingan ketujuh Super Weekend 2.
Menurut Obot, pasukannya mampu melakukan kebangkitan semula dalam perlawanan minggu ini berikutan penukaran beberapa strategi yang melibatkan penukaran posisi Homebois.
“Bulatan (zon selamat) selalu dari kami. Kami pula selalu mengejar bulatan.
“Jadi kami menukar koordinasi dan strategi kami dilihat menjadi sedikit demi sedikit,” kata Obot.
Jelas Obot, dia mungkin akan bermain pada pusingan akhir Super Weekend hari ini.
Selepas 7 pusingan dimainkan pada peringkat Super Weekend, Obot dan Homebois kini berada di ranking ke-15 dengan kutipan 61 mata secara keseluruhan.
Tonton aksi Obot dan Homebois menentang pasukan-pasukan terbaik PUBG Mobile Malaysia dan Singapura di Facebook atau YouTube PUBG Mobile.
