Connect with us

Mobile Legends

Mobile Legends: Kenali artis popular JJ Lin, pemilik Team SMG

Published

on

JJ Lin juga mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminatnya apabila dia mempunyai 4.3 juta pengikut di Instagram dan 3.1 juta pengikut di Facebook. - Foto JJ Lin

KUALA LUMPUR – Pasukan kompetitif Makan Cendul yang sebelum ini dikenali sebagai Xpax Assassins telah dijenamakan semula sebagai Team SMG (Still Moving Under Gunfire).

Ia berikutan pemilikan Team SMG terhadap Makan Cendul pada semalam.

Team SMG merupakan antara organisasi e-sukan utama di Asia dan diasaskan pada 2017 bersama penyanyi popular Mandopop (Pop Mandarin) kelahiran Singapura Lim JunJie Wayne atau senang dikenali sebagai JJ Lin.

Siapa JJ Lin?

Mungkin nama JJ Lin sedikit asing dalam kalangan komuniti e-sukan Malaysia namun dalam bidang arus perdana dan muzik JJ Lin adalah satu nama yang besar. Beliau cukup dikenali dengan kehebatannya dalam nyanyian dan mencipta lirik muzik.

Sepanjang kariernya sejak 2003 dalam bidang muzik, JJ Lin telah mencipta pelbagai rekod dan meraih pelbagai anugerah.

Antaranya, termasuk Anugerah Mnet Asian Music Awards 2018 bagi kategori Artis Terbaik Asia dan Anugerah Golden Melody Awards ke-27 2016 bagi kategori Komposer Terbaik.

Selain itu, pada Mei 2009, JJ Lin pernah memenangi tiga anugerah pada acara tahunan Composers and Authors Society of the UK (Compass) Awards Presentations untuk menghargai penglibatannya dalam bidang muzik.

Pada tahun yang sama, JJ Lin turut memenangi Anugerah Belia Singapura.

JJ Lin juga mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminatnya apabila dia mempunyai 4.3 juta pengikut di Instagram dan 3.1 juta pengikut di Facebook.

JJ Lin, e-sukan dan Team SMG

Umum mengetahui JJ Lin merupakan penggemar e-sukan Dota 2 namun tidak ramai mengetahui bahawa beliau berhasrat untuk menjadikan minat mendalamnya terhadap permainan video ke peringkat yang lebih profesional.

Selain memberi sokongan dalam kejohanan Dota 2 seperti Shanghai Major dan DAC Major sebagai penyanyi undangan sebelum ini, JJ Lin juga sedang berusaha keras untuk membangunkan pasukan e-sukannya.

JJ Lin berharap e-sukan dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dengan pengaruh yang beliau dalam budaya pop.

“Saya membesar dengan meminati genre e-sukan MOBA, sejak Dota 2 dilancarkan di platform Warcraft 3.

“Sejak itu, ia telah melahirkan minat mendalam saya dalam e-sukan.

“Menerusi gabungan saya bersama bekas pemain profesional dan jurulatih e-sukan Kenchi Yap dengan menubuhkan Team SMG Asia Tenggara, ia dilihat satu langkah ke hadapan untuk visi global kami dalam e-sukan,” kata JJ Lin dalam satu kenyataan.

Dalam arena e-sukan, nama Team SMG terus meningkat naik dalam arena e-sukan selepas memenangi Kejohanan Antarabangsa Arena of Valor pada 2017.

Kini Team SMG mahu menembusi pasaran e-sukan Asia Tenggara dengan memiliki pasukan Makan Cendul yang akan bersaing di MPL Malaysia dan Singapura pada 29 Februari nanti.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved