Mobile Legends
Soloz menang Anugerah Pencipta Kandungan Paling Banyak Jumlah Tontonan Facebook
PEMAIN e-sukan tanah air bagi pasukan Shopee Bosskurr, Mohd Faris Zakaria (Soloz) mencatat sejarah tersendiri apabila terpilih untuk memenangi Anugerah Pencipta Kandungan Facebook yang Paling Banyak Menerima Jumlah Tontonan di Malaysia.
Dalam satu catatan di media sosial, Soloz berkongsikan berita gembira tersebut dengan kapsyen: “Terima kasih untuk sokongan anda. Kata Fredie Mercury, saya bukan legenda. Kita adalah legenda.”
Sejak menubuhkan laman Facebooknya tersendiri pada 24 Januari 2018, Soloz kini telah menerima 241,308 kesukaan (likes) dan 448,190 pengikut setakat ini.
Menerusi platform itu, Soloz telah menghasilkan 240 video, dengan antaranya mencatat rekod 678,000 jumlah tontonan.
Berikutan berita baik yang dikongsikan di Instagram peribadinya, Soloz telah menerima pelbagai ucapan tahniah daripada kalangan peminat dan juga rakan-rakan penstriman langsung tanah air.
“Tahniah Soloz, anda memang layak,” kata pengguna @ardimohdsali.
Ada juga mengatakan kandungan video yang dihasilkan Soloz juga menghiburkan penonton.
“Baik, Soloz. Memang seronok tengok video Soloz sebab anda kelakar dan menarik,” kata @mk.izzwa.
Selain bermain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Soloz turut bermain PlayerUnknown’s Battlegrounds Mudah Alih (PUBG Mobile) di platform Facebook.
Soloz merupakan antara pemain e-sukan terkemuka tanah air yang dikagumi ramai peminat berikutan skil individunya dan sifat rendah diri yang ditonjolkan sebagai seorang pempengaruh (influencer.)
Dia kini menggalas tugas sebagai Kapten bagi bahagian MLBB Shopee Bosskurr selepas Ahmad Fuad Razali (Fredo) kini memberi tumpuan untuk e-sukan PUBG bagi organisasi itu.
