PUBG Mobile
PMWL: Mentaliti Sang juara Team Secret MY- JangS
“Saya bangga, pemain-pemain kami tidak pernah putus asa meskipun pernah berada di kedudukan bawah carta keseluruhan.”
Itu luahan jurulatih pasukan PUBG Mobile Team Secret, Muhammad Farhan Abdul Gaffar (JangS) dalam satu kenyataan di Twitter baru-baru ini.
Dalam kenyataan itu, JangS, yang merupakan bekas pemain profesional Player Unknown’s BattleGrounds (PUBG) untuk Geek Fam, menceritakan kisah di sebalik kebangkitan semula Team Secret MY selepas mempamerkan prestasi yang kurang memuaskan pada minggu pertama Super Weekend Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur Musim 0.
“Memulakan minggu pertama PMWL Timur di tempat ke-13, memang satu perkara yang kurang memberangsangkan bagi kami.
“Namun, mereka (pemain Team Secret) tekun untuk mengkaji semula kesilapan yang dilakukan dan melakukan perbincangan secara menyeluruh.
“Menjelang minggu kedua, dengan pengetahuan baharu mereka setelah mengkaji corak pemainan lawan pada minggu pertama, mereka berjaya mendapatkan dua Chicken Dinner berturut-turut dan melonjak naik ke tempat ketujuh.” jelas JangS
JangS turut berkongsi mengenai mentaliti pemain-pemain Team Secret yang dibarisi oleh Kow Jiunn Jie (BiuBiu), Asyam Allam (Rex), Dhiya Ulhaq Mohd Arasz (uHigh), Aekachai Areesanan (Madtoi), Raymond Tan (iShotz) sepanjang peringkat liga PMWL Timur.

“Kesemua mereka komited dalam proses pembelajaran dalam liga PMWL Timur ini.
“Sebagai seorang jurulatih, menganalisis menjadi lebih mudah dengan adanya pemain-pemain yang tekun seperti mereka,” luah JangS.
JangS juga menjelaskan bahawa mereka sebenarnya mensasarkan tempat ketiga apabila sedar bahawa jurang mata antara tempat ketiga tidak begitu jauh.
Namun demikian, menurut JangS, kesilapan-kesilapan kecil dan terlalu berkeyakinan diri mengakibatkan mereka jatuh ke tangga ketujuh selepas 10 pusingan.
Mentaliti juara sekali lagi dipamerkan apabila berjaya mendapatkan dua Chicken Dinner dalam lima pusingan terakhir mereka sekaligus menamatkan peringkat liga di kedudukan kelima secara keseluruhan.
Selepas tiga pusingan peringkat Super Weekend berlangsung, Team Secret MY meraih 423 mata, termasuk 176 mata bunuh dan empat Chicken Dinner.

JangS turut meluahkan rasa kagum terhadap pemain-pemainnya dan berterima kasih kepada penyokong-penyokong Team Secret MY.
Team Secret MY dan satu lagi wakil negara Yoodo Gank akan beraksi di peringkat akhir PMWL Timur pada 6-9 Ogos.
Saksikan pertempuran peringkat akhir PMWL Timur di laman Youtube atau Facebook khamis ini pada jam 8 malam.
