Connect with us

PUBG Mobile

PMWL: Sasaran kami adalah juara -Rex

Published

on

Foto: YouTube / PUBG Mobile

KEBANGKITAN semula pasukan Team Secret MY ketika ini menjadi perhatian apabila menduduki ranking paling atas dalam pungutan mata Super Weekend Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur minggu kedua secara keseluruhan.

Team Secret MY mempamerkan prestasi konsisten sepanjang minggu kedua Super Weekend berlangsung apabila melonjak dari tangga ke-13 hingga ke tangga ketujuh dalam carta keseluruhan PMWL Timur.

Dalam satu temu bual selepas perlawanan, pemain Team Secret Kow Jiunn Jie (BiuBiu) menjelaskan bahawa dua sebab utama kebangitan semula pasukan Team Secret kebelakangan ini adalah disebabkan pemilihan lokasi mendarat dan penukaran posisi (rotation).

 “Antara sebab utama kenapa kami berjaya untuk melakukan kebangkitan semula dalam carta keseluruhan adalah kerana kami memilih untuk mengelak dari terlibat dalam pertarungan-pertarungan awal pada minggu ini.

“Kami lebih memberi tumpuan kepada lokasi mendarat pasukan-pasukan lain sebelum ini,”

“Kami turut mengubah strategi penukaran-penukaran posisi dalam peta mengikut ketepatan masa dan jalan-jalan yang sesuai dilalui untuk memasuki zon selamat tanpa kehilangan pemain,” jelas BiuBiu

Apabila disoal mengenai perkembangan pemain baharu Asyam Allam (Rex), BiuBiu yang juga kapten pasukan Team Secret MY berkata Rex merupakan seorang pemain yang berpotensi tinggi.

 “Rex seorang pemain yang hebat. Kekurangannya hanya pengalaman dari menyertai kejohanan-kejohanan utama,” kata BiuBiu.

Selain itu, BiuBiu juga berkata pasukannya kini sedang memberi tumpuan dalam memperbaiki komunikasi antara pemain.

“Kami sedang bekerja keras untuk memperbaiki kemahiran komunikasi bagi meningkatkan kesefahaman sesama rakan sepasukan.

“Semakin banyak perlawanan yang kami sertai, semakin baik kemahiran komunikasi antara rakan sepasukan kami,” tambah BiuBiu.

Pemain terbaharu Team Secret MY, Asyam Allam (Rex) turut memberikan pandangannya mengenai prestasi pasukannya kebelakangan ini.

Ketika ditanya apakah sasarannya dalam PMWL, jawapan Rex ringkas.

Dia mahu menjadi juara.

“Sasaran untuk diri saya dan pasukan adalah juara,” kata Rex.

“Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman pada peringkat antarabangsa, rakan-rakan sepasukan saya sentiasa memberikan tunjuk ajar saya dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang saya pernah lakukan,” jelas Rex.

Rex turut melahirkan rasa kesyukuran kepada ahli keluarganya dan penyokong-penyokong Team Secret MY yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Team Secret yang kini berada di tangga ketujuh akan berentap esok bagi hari terakhir Super Weekend 2.

20 pasukan Asia yang bertanding PMWL Timur ketika ini sedang bertarung untuk mendapatkan slot ke final pada 6-9 Ogos nanti.

PMWL Timur menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM1.8 juta secara keseluruhan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WTM Media Sdn. Bhd. Company No: 202501057013 (1658419-U) All Rights Reserved