PUBG Mobile
#RoadtoSEAFinal: iNaoki mungkin tidak akan main Grand Final – Man Parang
KUALA LUMPUR – Pemain kelima Yoodo Gank Azmal Jasni (iNaoiki) berkemungkinan tidak akan beraksi dalam Grand Final Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua, kata kapten Aiman Mohd (Man Parang).
Man Parang berkata ia berikutan keempat-empat pemain utama Yoodo Gank ketika ini berada di lokasi latihan pasukan itu selain iNaoiki.
“Kami berada di lokasi latihan pasukan sempena Grand Final kecuali iNaoki. Jadi siapa yang ada di sini sahaja akan bermain,” kata Man Parang secara ringkas.
Dia berkata demikian dalam satu temu bual PMPL selepas memenangi Chicken Dinner Grand Final di Miramar seketika tadi.
BACA: Yoodo Gank dapat circle, CCV naik lebih 79,000 tontonan
Difahamkan, lokasi latihan Yoodo Gank yang dinamakan Wulfden terletak di Puchong, Selangor.
Ketika ini sedang berlangsung Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua yang menyaksikan 16 pasukan terbaik tanah air merebut gelaran juara dan slot ke Grand Final PMPL Asia Tenggara (SEA Final) 2020.
Hanya dua pasukan terbaik dalam kejohanan itu akan mara ke SEA Final 2020.
Setakat ini dua pasukan Malaysia telah disahkan akan ke SEA Final 2020 iaitu Yoodo Gank selaku juara musim pertama dan Team Secret MY yang memenangi peringkat liga PMPL MYSG pada minggu lalu.
Sementara itu, Man Parang juga meninggalkan beberapa kata-kata semangat kepada pasukan-pasukan yang lain dalam misi merebut slot itu.
“Selamat maju jaya dan lakukan yang terbaik untuk dapatkan slot ke SEA Final. Ayuh, mari kita lakukannya,” kata Man Parang.
Tonton Grand Final PMPL MYSG Musim Kedua secara langsung di Facebook PUBG Mobile dan dan anda berpeluang untuk memenangi kereta Perodua Myvi.