APEX LEGENDS
Pemain Malaysia, BunnyH0p menang kejohanan Apex Legends bawa pulang RM124,000
PEMAIN kompetitif e-sukan Apex Legends, Panggau Noel Uthan Chuat (BunnyH0p) telah memenangi Kejohanan Siri Global Apex Legends Winter – Asia Pasifik (Selatan) pada minggu lalu bersama pasukannya, Grape.
BunnyH0p berkata dia berbangga menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang memenangi kejohanan Apex Legends itu.
“Saya berharap kejayaan saya akan menggalakkan lebih ramai pemain Malaysia untuk mencuba dan menyertai kejohanan Apex Legends yang akan datang.
“Saya percaya Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat namun hanya beberapa sahaja termasuk saya yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan,” kata BunnyH0p ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.
BunnyH0p yang mula bermain Apex Legends sejak permainan itu dilancarkan pada Februari 2019, membawa pulang kira-kira RM124,200 (AS$30,000) bersama pasukannya.
Dalam Siri Global Apex Legends (Winter) yang bermula dari 29 Januari sehingga 28 Mac itu, BunnyH0p bergandingan dengan pemain Thailand Sila Akepadcha (KzyyX) dan Thoriq Sultan (Bigzzy) dari Indonesia.
Sementara itu, dalam satu catatan di Facebook, BunnyH0p berkata dia sebenarnya hanya mensasarkan kedudukan 20 terbaik dalam kejohanan Apex Legends itu.
“Saya memberitahu pasukan saya, menang kalah belakang cerita. Apa yang penting kita cuba sebaik mungkin. Saya ada impian iaitu memenangi sebuah kejohanan.
“Impian itu telah menjadi realiti,” kata BunnyH0p.
Bagi anda yang mahu mengikuti perkembangan terkini atau memberi sokongan kepada pemain Apex Legends, BunnyH0p boleh ikutinya di Facebook Gaming.
BunnyH0p dijangka akan terus menyertai kejohanan kompetitif Apex Legends pada masa yang datang.